Ahad, 21 April 2013

Demi Islam, haram tukar pentadbiran kerajaan Kelantan



Oleh Wan Nik Wan Yusof

KALI ini baik benar kita berbicara soal wajibnya rakyat Kelantan mengambil sikap mengekalkan sokongan kepada kepimpinan ulama yang menerajui kerajaan negeri Kelantan. Soal ini dapat kita fahami daripada pandangan syariah dua tokoh agama terkenal tanah air. 

Satunya oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Bidin (Dr Maza), bekas Mufti Perlis dan kini pensyarah Universiti Sains Malaysia.

Keduanya pula ialah seorang guru agama terkenal Dr Zahazan Mohamed, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada 11 Julai 2009, Dr Maza memberi penilaian terhadap pentadbiran PAS di Kelantan di bawah tajuk “Jangan jatuhkan Kelantan.” “Melihat kepada usaha-usaha Islamisasi di Kelantan yang telah dan sedang dilakukan, maka saya berpendapat sebarang kegiatan untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan yang sedang ada amat tidak wajar dan menyanggahi roh Islami seorang Muslim, bahkan jiwa seorang insan biasa yang adil dalam penilaian pun.

Biarlah Kelantan dengan caranya, mereka Muslim, mereka cuba memerintah dengan pendekatan yang tidak menyanggahi syariat, sebaliknya cuba memenuhinya. Usaha menjatuhkan Kelantan hanya menimbulkan salah faham mereka yang bersemangat Islam terhadap Kerajaan Pusat.”

Demikian pula, Dr Zahazan telah menukilkan menerusi laman sosial (Facebook). Ustaz Zahazan Mohamed pula memberi pandangan yang ala fatwa. Menurutnya, “Pesan kerana Allah dan rasul- Nya, nasihat untuk Islam, buat umat Islam, di Kelantan, HARAM menukar kerajaan yang memerintah kalian sekarang… Tanpa menafikan wujud kekurangan yang berlaku dalam kerajaan sedia ada.

Ia adalah kelemahan yang kecil dan mampu diatasi kerana mudarat menjatuhkan kerajaan yang berusaha menegakkan Islam ini menjadi lebih bahaya apabila naiknya pemimpin yang cenderung kepada maksiat dan kelalaian...” Semasa ‘petikan’ ini (8 Mac lalu), pandangan Dr Zahazan telah mendapat komen 1,862 orang, dikongsi oleh 4,954 orang dan yang menanda like (suka) seramai 12,163 orang.

Pada 11 Julai 2009, Dr Maza memberi penilaian terhadap pentadbiran PAS di Kelantan di bawah tajuk “Jangan jatuhkan Kelantan.”

Berikutnya Dr Maza (dalam blognya, 15 April 2011) telah memberi panduan kepada umat Islam agar terlibat dalam proses pemilihan pimpinan negeri dan negara.

Menurut beliau, “Undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan. Jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala. Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi ia terus mengundi juga, maka dia mendapat dosa.”

Hari ini tahukah kita, ramai pemimpin Umno-BN yang mengemudi teraju kerajaan di peringkat Pusat dan Negeri jelas terlibat de ngan unsur- unsur yang berlawanan dengan hakikat kebaikan menurut acuan Islam.

Dalam isu tuntutan royalti minyak dan gas rakyat Kelantan, sudah ada pemimpin yang bertindak tidak adil kepada hak warga negeri Negeri Kelantan. Ada yang menafikan langsung akan hak itu, dan ada pula yang beralasan tanpa mematuhi perjanjian (kononnya tiada hak kerana telaga berada di luar tiga batu nautika).

Sementara ada pula yang mendakwa ro yalti itu telah diberi menerusi pembayaran wang ihsan melalui ketua bahagian Umno.

Isu royalti ini adalah terlalu spesifik yang boleh ditimbang sebagai “kerana kuasa yang ada (diundi oleh rakyat) mereka bertindak di luar batasan perjanjian yang ada.” Sudah tentu ia memberi kesan buruk kerana menafikan asas-asas persetujuan yang termaktub di dalam perjanjian.

Maka rakyat sebagai pengundi harus rasional memikirkan kerana undi yang satu itulah (mana yang mengundi pemimpin Umno-BN berkenaan), maka undi itu telah memberi kuasa kepada mereka melakukan sedemikian ketidakadilan.

Justeru ia suatu pertimbangan yang boleh mensabitkan dengan dosa (kerana engkar perjanjian). Sedangkan di dalam al-Quran persoalan janji adalah nilai integriti tinggi dan kemuliaan kepada syiar agama Islam itu sendiri. “Wahai orang-orang beriman, sempurnakanlah janjijanjimu.” (Surah Al-Maidah ayat 1).

Selanjutnya Allah berfirman (Surah Al-Baqarah ayat 225), “Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.”

Demi Islam, maka haram kita bersikap untuk menukar kerajaan Islam di Kelantan ini. Maka tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Kelantan yang kini menyokong penuh kempen kekal Kelantan sebagai simbolik persetujuan rasmi jiwa nurani warga negeri Kelantan bersama kepimpinan ulama yang sedang merealisasikan dasar Membangun Bersama Islam.

 Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Tiada ulasan: