Ahad, 14 April 2013

Dr Mahathir ‘pembohong besar’, ‘bapa fitnah’: Kit Siang

Roketkini.com



GELANG PATAH,: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pembohong besar dan ‘bapa fitnah’ kerana menuduhnya meminta orang Cina di Gelang Patah dan Johor menolak kerjasama dan berkongsi dengan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh satu lagi 24 jam untuk Dr Mahathir menarik balik kenyataannya atau meminta maaf terhadap fitnah tidak berasas itu atau menghadapi tindakan undang-undang.

Katanya, ini kerana Dr Mahathir dalam blognya membuat serangan tidak bertanggungjawab mengatakan beliau meminta orang Cina di Johor “untuk tidak suka dan benci orang Melayu” bagi mewujudkan “konflik dan permusuhan antara kaum” sedangkan beliau tidak pernah bercakap sedemikian.

Semalam, Kit Siang meminta Mahathir menghentikan membuat pembohongan dan fitnah tanpa bukti yang menjejaskan reputasi dan imej beliau sebagaimana yang dilakukan dalam blognya, Khamis lalu.

“Semua dakwaan Mahathir adalah tidak benar dan fitnah keranna saya tidak pernah berucap di Gelang Patah dan Johor sejak pengumuman akan bertanding di Gelang Patah, 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media di Pusat Operasi PRU-13, di Gelang Patah, semalam.

Menurutnya, sejak menceburi politik selama 47 tahun beliau tidak pernah melakukan seperti yang dituduh Dr Mahathir sebaliknya mahu rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau geografi bersatu sebagai satu rakyat untuk mewujudkan sebuah negara yang akan menjadi contoh antarabangsa dan inspirasi sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya.

“Saya berulang kali mengatakan di Gelang Patah, saya harap tidak menang hanya bergantung kepada undi Cina, tetapi mahu undi semua kaum di negara ini iaitu Cina, Melayu dan India. Saya mahu pengundi Cina, Melayu dan India di Gelang Patah membuktikan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka boleh bersatu di bawah panji-panji Pakatan Rakyat daripada DAP, PAS dan PKR sekaligus membuktikan tuduhan Mahathir itu palsu,” katanya.

Kit Siang yang juga penyandang Parlimen Ipoh Timur berkata, terdapat cubaan untuk menjadikan PRU-13 pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah Malaysia selama 56 tahun dengan memfitnah pemimpin PAS, DAP dan PKR serta mewujudkan ketegangan kaum.

“Fitnah paling kotor ialah penyebaran video seks membabitkan pemimpin PR, termasuk video seks sintetik yang dianggap paling keji dan pengecut. Saya sendiri dituduh menghasut kebencian kaum hingga mencetuskan ketegangan di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: