Sabtu, 20 April 2013

Gelombang Sokongan Rakyat Makin Kuat Di Selayang


Penamaan Calon Di Selayang 01

SELAYANG: Gelombang sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat(PR) makin kuat di Selayang berdasarkan kecemerlangan pentadbiran dan pelbagai program yang diaturkan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

Calon Parlimen Selayang, William Leong(PKR) berkata, rakyat dapat merasai perbezaan ketara di bawah pentadbiran PR Selangor yang dilihat lebih banyak menyelesaikan masalah berbanding Umno-BN.

“Saya yakin rakyat telah buka mata dengan satu keyakinan bahawa Kerajaan PR boleh memerintah dengan baik, jujur dan telus.

“Saya sendiri sering turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat dan sekaligus memberi satu harapan kepada rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru,” katanya.

Bagi calon DUN Rawang, Gan Pei Nei(PKR), beliau berharap rakyat akan memberi mandat sekali lagi kepada PR untuk mentadbir Selangor bagi meneruskan kecemerlangan yang dilaksanakan sejak tahun 2008.

Beliau yang kekal bertanding di kerusi DUN tersebut buat kali kedua yakin manifesto gabungan itu serta program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mampu memikat hati rakyat untuk terus kekal menyokong PR.

“Saya rasa rakyat melalui maklum balas yang kita terima mereka nampak ada perbezaan ketara di bawah pemerintahan PR khasnya seperti polisi air percuma, program MES dan sebagainya.

Penamaan Calon Di Selayang 02

“Kita dilihat sebagai sebuah kerajaan bebas rasuah dan terbukti bersih serta amanah di mana ia diakui oleh Ketua Audit Negara sendiri.

“Secara tidak langsung ia memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong PR,” ujarnya.

Sementara itu, calon PAS DUN Taman Templer yang ditandingi Zaidy Abdul Talib berjanji akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran PR di Selangor dengan membawa harapan rakyat yang menuntut perubahan.

Katanya, beliau akan melakukan yang terbaik dengan menawarkan khidmat kepada rakyat dan menyerahkan kepada mereka untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak.

“Kami di sini akan meneruskan kecemerlangan yang dibuat oleh PR dalam tempoh lima tahun. Di Malaysia.

“Kita akan tawarkan khidmat kepada rakyat dan serahkan kepada mereka untuk memilih calon yang terbaik. Saya cukup yakin dengan kebangkitan rakyat yang percaya kepada PR,” katanya.

Calon PKR DUN Kuang, Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman pula berharap rakyat akan memberi sokongan padu kepada PR yang sentiasa berusaha membela nasib rakyat.

Beliau juga berharap pilihan raya kali ini akan berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin memenangi kerusi DUN ini untuk masa depan warga Kuang kerana saya telah pantau keadaan di sana sejak tahun 2000 lagi.

“Saya akan meneruskan apa yang ingin dilaksanakan oleh PR di mana ia terbukti telah berjaya malah akan ditambah baik lagi seperti yang ditawarkan dalam manifesto PR Selangor,” ujarnya.

Tiada ulasan: