Ahad, 7 April 2013

Guan Eng cabar Soi Lek tanding Gelang Patah

KAMARUL HALIM M KAMAL

Guan Eng cabar Soi Lek tanding Gelang Patah
Guan Eng (duduk, tiga, kiri) dan Kit Siang (duduk, tiga, kanan) bersama pimpinan DAP Dun Penggaram selepas sidang media, semalam.
 
BATU PAHAT - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dicabar untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau mengharapkan kerusi berkenaan akan ditentang oleh calon Cina dari Barisan Nasional (BN) terutamanya Soi Lek.

“Kenapa Soi Lek takut hendak bertanding di sini? Saya rasa ada jawapannya kerana beliau takut kalah dengan pihak kami, sebab itulah mereka bercadang untuk menghantar Abdul Ghani (Datuk Abdul Ghani Othman).

“Tapi saya juga boleh katakan yang Abdul Ghani juga akan tewas kerana pada pilihan raya kali ini, kami akan melawan habis-habisan,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Beliau juga beranggapan jika BN meletakkan calon dari Umno untuk bertanding di kerusi berkenaan, ia disifatkan satu tindakan pengecut.

“Kerusi Parlimen Gelang Patah itu milik MCA, kenapa nak diserahkan kepada Umno?” katanya.

Sementara itu, beliau menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyatakan kerusi Parlimen Gelang Patah bakal menjadi ‘kubur’ Kit Siang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya juga cabar Mahathir untuk datang ke sini (Gelang Patah) sama ada bertanding atau melihat yang Gelang Patah ini menjadi ‘kubur’ siapa? Calon BN atau kami," katanya.

Tiada ulasan: