Isnin, 1 April 2013

Istilah perkuda tidak wujud

Wartawan Sinar Harian

Istilah perkuda tidak wujud
Abdul Hadi menyampaikan ceramah di Perhentian Bas Tanjong Karang
 
TANJONG KARANG - “Istilah Pas diperkuda DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang dilabelkan Barisan Nasional dan Umno selama ini tidak wujud tetapi sebaliknya parti itu diperguna MCA dan MIC untuk mengekalkan kuasa mereka selama ini,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sekiranya Umno medakwa Pas menjadi kuda tunggangan kepada DAP dan PKR untuk mendapatkan kuasa, ia tidak berasas sama sekali kerana Umno yang selama ini mengkhianati orang Melayu dengan menyerahkan kerusi yang mempunyai majoriti Melayu kepada bukan Melayu.

“Rakyat boleh menilai apabila daripada 222 kerusi Parlimen, Umno menyerahkan sebanyak 21 kerusi yang mempunyai majoriti Melayu kepada parti komponen mereka iaitu MCA, MIC dan Gerakan tetapi Pas bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil semula kerusi itu.

“Seperti kerusi Parlimen Kota Raja yang dimenangi calon Pas, Dr Siti Mariah Mahmud pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, sekali gus membuktikan pengundi majoriti Melayu lebih memilih calon Melayu untuk bertanding di kawasan itu.

“Selama ini ahli Umno yang kononnya memperjuangkan Melayu turut bekerja keras untuk memenangkan calon bukan Melayu dan memangkah mereka semata-mata mahu memenangkan BN. Jadi, apakah ertinya perjuangan Melayu yang mereka perjuangkan selama ini?

“Sebaliknya di dalam PR, DAP hanya bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti Cina sahaja manakala Pas pula akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu diikuti PKR di kawasan majoriti Melayu dan campuran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Abdul Hadi turut menjelaskan, dakwaan kononnya DAP akan mentadbir negara sekiranya PR berjaya mengambil alih Putrajaya juga tidak berasas kerana DAP hanya bertanding antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen sahaja sedangkan Pas dan PKR masing-masing bertanding lebih daripada 70 kerusi.

“Justeru, rakyat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan propaganda dimainkan Umno,” katanya ketika sesi ceramah di Perhentian Bas Tanjong Karang sempena siri lawatannya di Tanjong Karang.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman yang juga Adun Meru; Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani; Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri.

Abdul Hadi berkata, kerjasama antara Pas dan DAP bukan satu perkara baru, bahkan pernah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi sebagaimana dicatatkan dalam beberapa sejarah perjuangan Islam apabila meminta bantuan orang bukan Islam ketika penghijrahan ke Madinah.

“Begitu juga sewaktu baginda Rasullah di Madinah mengadakan permuafakatan dengan bukan Islam dari golongan kafir Madinah sehingga termeterainya perjanjian ataupun disebut sebagai piagam Madinah dan pernah membuat perjanjian dengan Bani Khuza’ah dan lain-lain.

“Sebab itu, kerjasama antara Pas dan DAP dibolehkan oleh syarak kerana Majlis Syura Ulama’ Pas yang menjadi pemandu perjuangan Pas sejak daripada awal lagi sekali gus membezakan kerjasama antara Umno dan parti komponen mereka yang semata-mata hanya untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Tiada ulasan: