Sabtu, 6 April 2013

Isu bina masjid pun jadi modal politik Umno Kedah!



Oleh ZULKIFLI YAHAYA

SELAKU Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, saya menawarkan diri  untuk mengajar tuisyen bahasa Melayu secara percuma kepada Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim serta serta para pemimpin BN negeri ini yang tidak memahami maksud ayat: “Sebanyak 12 buah masjid telah dibina sejak 2008 sebagaimana senarai berikut:..” yang terkandung dalam buku Sayangi Kedah Sejahtera. Buku tersebut merupakan catatan pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat sepanjang sepenggal mentadbir kerajaan negeri. Ia diterbit dan diedarkan selepas genap lima tahun Pakatan mengambil alih kerajaan negeri dari BN

Badrol Hisham memimpin sekumpulan pemuda bersama dengan Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi Negeri Kedah, Dato' Azmi Lateh mengadakan sidang media di pejabat ICU untuk menghentam kerajaan negeri kerana kononnya pihak negeri telah menipu rakyat dengan mengakui bahawa 12 buah masjid yang terbina di Kedah sejak Mac 2008 adalah dibina oleh kerajaan negeri.

Lima tahun Pakatan mentadbir Kedah, tidak pernah sekalipun mana-mana parti dalam Pakatan mengadakan sidang media bersama Setiausaha Kerajaan Negeri atau mana-mana pegawai negeri untuk menghentam pembangkang (BN) dalam isu politik. Itulah bezanya Pakatan berbanding BN, yang tahu membezakan profesionalisme pegawai kerajaan dengan kerja-kerja politik.

Ketua Pemuda Umno tersebut mendesak Menteri Besar meminta maaf daripada kerajaan BN Pusat kerana 'mengaku' membina masjid, walhal kata mereka, kerajaan Pusat yang membinanya. Badrol Hisham memang wajar disekolahkan semula, khususnya mempelajari bahasa Melayu asas kerana dalam ayat yang tertera dalam buku 'Sayangi Kedah Sejahtera' langsung tidak menyebut bahawa, masjid itu telah dibina menggunakan sumber kewangan kerajaan negeri semata-mata. Lebih teruk lagi jika beliau serta para pemimpin Umno yang lain memahami maksud ayat tersebut sebagai ‘PAS mengaku membina masjid’. 

Perkara paling kelakar bagi gerombolan Pemuda Umno itu ialah mengugut mahu menyaman kerajaan negeri jika Menteri Besar enggan meminta maaf. Entah apa 'locus standi' mereka untuk berbuat demikian, sebab mereka hanya sebuah pertubuhan politik yang menjadi pembangkang di Kedah. Macam kata Ustaz Ismail Kamus yang sangat masyhur, baru buka mulut nampak macam tak tahu apa-apa. Sekali buka mulut bercakap, sah memang tak tahu apa-apa hingga tampak kejahilan mereka.

Untuk pengetahuan pihak yang keliru dengan isu pembinaan masjid, perkara paling penting yang perlu mereka fahami ialah urusan masjid atau segala perkara yang berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang dinaungi terus oleh KDYMM Sultan negeri Kedah.

Pembinaan masjid tidak dapat lari daripada tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri, penyediaan tapak oleh kerajaan negeri, sumbangan kewangan oleh Jabatan Zakat Negeri serta menguruskan sumbangan derma dan wakaf orang ramai. Peranan itu tidak jauh berbeza dengan tugas kerajaan Pusat yang mengutip duit cukai dari rakyat jelata dan cukai terkumpul itu yang disalurkan untuk membina masjid. Bezanya ialah jumlah peruntukan Pusat lebih besar berbanding Negeri, bersesuaian dengan status, kemampuan dan peranan masing-masing. Dalam hal ini sepatutnya Umno yang berasa malu kerana mengaku duit yang bersumberkan poket rakyat (duit cukai) untuk pembinaan masjid sebagai duit Umno.

Jika Umno berhujah, sebahagian besar peruntukan bina masjid itu adalah dari Pusat bukannya Negeri, justeru tiada satu pun masjid yang dibina oleh kerajaan Pakatan, maka ia sama saja kedudukannya dengan Umno yang 50 tahun mentadbir Kedah dahulu; tiada satu pun masjid yang mereka bina. Semuanya peruntukan Pusat!

Senarai pembinaan 12 buah masjid itu dimasukkan dalam buku Sayangi Kedah Sejahtera sebagai menjelaskan tohmahan bahawa sepanjang satu penggal pemerintahan Pakatan Rakyat tiada masjid yang terbina di Kedah. Di samping menjelaskan bahawa kerajaan negeri tetap berperanan dalam urusan pembinaan masjid.

Kepada pihak Pemuda Umno Kedah yang beriya-iya untuk mengaku menjadi ‘hero bina masjid’ eloklah menghentikan tindakan kebudak-budakan itu. Apa yang lebih penting sebagai umat Islam ialah memakmurkan Rumah Allah bukan setakat berbangga kononnya mereka adalah jaguh bina masjid, sedangkan sumber pembinaan masjid itu pun adalah dari hasil cukai yang dikutip daripada rakyat dan korporat. 

Di zaman Rasulullah s.a.w. ada masjid yang dibina oleh puak munafik bertujuan menyaingi masjid yang Quba' dibina oleh baginda. Ia mendapat penajaan daripada musuh Islam untuk membinanya. Masjid yang digelar Masjid Dhiror itu lebih hebat, besar dan cantik namun tiada mendapat sambutan daripada umat Islam. Niat membina masjid itu pun sudah tidak betul kerana mahu menyaingi pihak lain dan mahu memecahbelah umat Islam ketika itu yang bersatu di masjid Quba'.

Sepatutnya masjid menjadi simbol perpaduan umat Islam tetapi nampaknya Umno Kedah menjadikan isu masjid ke arah perpecahan. Mereka menyerang kerajaan negeri hingga ke peringkat mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah. Sukar juga nak faham bagaimana Umno memahami konsep masjid dan Islam itu sendiri. Nampak semacam Umno sebagai peneraju kerajaan Pusat tidak ikhlas dalam membina masjid. Buat masjid untuk menunjuk-nunjuk dan memberitahu seluruh dunia bahawa, ‘kami yang bina masjid’?

Bagaimanapun saya berterima kasih kepada pihak yang mensensaikan isu ‘pembinaan masjid’ ini kerana akibat tindakan tersebut maka buku Sayangi Kedah Sejahtera mencari buruan orang ramai sehingga ia terpaksa diulang cetak. Secara tidak langsung banyak maklumat lain mengenai pencapaian kerajaan Pakatan Kedah selama sepenggal tersebar kepada rakyat.

Tiada ulasan: