Isnin, 1 April 2013

Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti


Izzah SPR 01

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyanggah kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman membatalkan senarai pemilih yang didakwa meragukan sebelum memfailkan permohonan semakkan.

Sebaliknya Izzah mendedahkan satu surat yang ditandatangani Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria bagi membuktikan bahawa pihak suruhanjaya telah menerima surat berkenaan.

Selain itu, surat peguam melalui Tetuan Chooi & Company turut diterima dan disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan SPR, Nur Ezdiani Rolen.

“Pembatalan nama-nama yang alamat berdaftarnya tidak lengkap atau tidak wujud terkandung dalam Rang-Rang Daftar pemilih Lembah pantai P121 yang mana semua nama yang kita bantah kita maklumkan kepada SPR.

“Kita sebut di perenggan terakhir sila maklumkan secara bertulis dalam masa tujuh hari dari tarikh di sini sama ada pihak tuan akan membatalkan nama-nama terkandung yang dilampirkan bersama surat.

“Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan atau jawapan yang tidak boleh diterima, kami telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tuan tanpa notis selanjutnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa soal tidak menghubungi SPR sebelum difailkan ke mahkamah dibangkitkan sedangkan pihaknya melakukan perkara berkenaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas,” ujarnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan lebih 4,600 pengundi yang didakwanya meragukan dalam Rang Daftar Pemilih dalam Parlimen Lembah Pantai.

Tiada ulasan: