Sabtu, 6 April 2013

Jangan terpengaruh agenda Umno tentu tarikh p'raya

Muhammad Faizal,


JOHOR BAHRU: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak terpengaruh dengan agenda Umno yang mahu mengaitkan tarikh pilihanraya umum ke-13 (PRU13) dengan peristiwa berdarah 13 Mei.

Menurut beliau, SPR perlu profesional dan sewajarnya mengelak dari sebarang perkara yang boleh membawa kepada ketegangan dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU13) nanti.

"Kita mengharapkan supaya tarikh PRU13 tidak ada kena mengena dengan 13 Mei dan ianya boleh dielakkan sekiranya SPR bersikap profesional.

"Kita tidak mahu SPR terperangkap dengan agenda umno dan memang sejak kebelakang ini mereka cuba memainkan isu perkauman dan isu 13 Mei dengan tujuan untuk menakutkan rakyat," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program jelajah Treler Negara Berkebajikan PAS di sini.

SPR dalam kenyataannya semalam memaklumkan pihaknya akan bermesyuarat khas pada 10 April ini bagi menentukan beberapa tarikh penting bagi perjalanan PRU13 ini.

Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat tersebut ialah tarikh penamaan calon, tarikh pengundian termasuk pengundian awal serta menentukan daftar pemilih bagi pilihan raya tersebut.

SPR mempunyai tempoh 60 hari bagi mengadakan pilihan raya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran parlimen pada 3 April lalu.

Mengikut tradisi beberapa pilihan raya sebelum ini, tarikh pengundian berlaku selepas 24 hari parlimen dibubarkan.

Jika trend itu diambil kira, ramai menjangkakan tarikh pengundian PRU13 mungkin diadakan pada 27 April ini.

Bagaimanapun, terdapat juga desas-desus kemungkinan tarikh pengundian akan dibawa ke bulan depan dan mungkin menghampiri 13 Mei yang dilihat boleh dijadikan modal kempen buat Umno BN untuk memainkan isu tragedi 13 Mei dalam kempen mereka.

Salahudin ketika diminta mengulas lanjut berhubung isu 13 Mei yang dibangkitkan Umno itu berkata, isu itu sengaja dimainkan untuk menakutkan rakyat agar tidak membuat perubahan.

Menurutnya lagi, agenda itu cukup jelas apabila terdapat papan iklan yang dinaikan membayangkan kononnya kekacauan akan berlaku pada pilihan raya kali ini.

"Memang agenda mereka untuk menakutkan rakyat dan mengimbaukan kembali rakyat untuk ingat 13 Mei.

"Sedanggkan peristiwa tersebut telah lama berlaku, ia bukan masanya masyarakat Malaysia untuk mengingati peristiwa yang telah berlalu," sambung beliau.

Salahuddin juga menyatakan komitmen Pakatan Rakyat untuk memastikan jika berlaku peralihan kuasa, ianya akan berlangsung dengan aman dan mengikut undang-undangg.

"Masyarakat Malaysia juga harus menilai keamanan yang berlaku pada lima buah negeri apabila berlakunya perubahan selepas pilihanraya 2008," katanya.

Tiada ulasan: