Jumaat, 26 April 2013

Kamilia lambang diskriminasi wanita dalam BN


 




 Oleh NOOR AFIFAH JAMALUDIN

Isu pengunduran Datuk Kamilia Ibrahim sebagai naib ketua pergerakan Wanita Umno Malaysia, yang hangat dibicarakan di laman sosial Facebook miliknya selepas penamaan calon baru-baru ini sememangnya mengejutkan ramai pihak terutamanya para wanita Umno dan BN.

Tindakan beliau sebagai orang nombor dua dalam Wanita Umno bertanding bebas bukan sahaja bakal berdepan dengan calon BN di sana, malah secara automatiknya beliau dipecat terus sebagai ahli Umno dan BN.

Hal ini jelas telah membuka mata dan minda rakyat marhaen bahawa pentadbiran di bawah pucuk pimpinan BN sedikit pincang.

"Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang", satu bidalan mudah bagi menjawab teka-teki bagi sikap drastik bekas pimpinan wanita Umno memilih bertanding sebagai calon bebas.

Tindakan beliau itu diambil disebabkan oleh keputusan pucuk pimpinan BN yang tidak memberi kerusi kepada beliau untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Beliau merasakan bahawa tindakan itu menggambarkan ketidakseriusan Umno dalam mengangkat suara wanita di Parlimen. Kamilia juga melihat kepupusan calon wanita Umno semakin serius selepas pengumuman Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak bertanding dalam pilihan raya umum kali ini disebabkan pelbagai masalah yang membelenggu beliau.

Lagi menggemparkan negara bila mana jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu disandang oleh seorang "jejaka" selepas perletakkan jawatan Shahrizat.

Ini pertama kali berlaku dalam sejarah negara Malaysia malah seluruh dunia. Insiden tersebut cukup merencatkan dan memalukan institusi wanita yang seharusnya dipimpin oleh kepimpinan yang selayaknya.

Jadi sebagai orang nombor dua dalam Wanita Umno selepas Shahrizat, Kamilia seharusnya diberikan tempat untuk bertanding terutama di peringkat Parlimen bagi mengangkat suara wanita ke Dewan Rakyat.

Namun apa yang berlaku, Najib hanya menawarkan kerusi DUN Bukit Chandan kepada Kamelia.

Apakah ini menggambarkan keseriusan Umno dalam mengangkat suara wanita di peringkat Dewan Rakyat? Tidak dinafikan Shahrizat boleh dijadikan senator seterusnya menjawat jawatan menteri wanita. Namun, adakah mencukupi beliau seorang sahaja di sana?

Dari sudut pandang wanita muda juga mahasiswi, hal ini merupakan sesuatu perkara yang perlu dipandang serius kerana ianya melibatkan soal perjuangan kepimpinan wanita di arena politik.

Kami merasakan Kamilia sungguh berani menongkah arus bagi memartabatkan suara wanita dalam Dewan Rakyat. Kami melihat tindakan beliau itu adalah disebabkan diskriminasi yang berlaku oleh Umno terhadap wanita yang sama sekali tidak boleh diterima.

Tidak mengapalah Kamilia. Sekurang-kurangnya tindakan anda telah menyedarkan rakyat Malaysia apakah kedudukan wanita dalam kaca mata Umno. Di pihak mahasiswi terutamanya, kami sentiasa menyokong tindakan Datuk dan mana-mana usaha yang ikhlas bagi memartabatkan suara wanita.

Semoga usaha ikhlas Datuk ini mampu menyedarkan wanita-wanita di Malaysia tentang darjat suara wanita dalam Umno.

NOOR AFIFAH JAMALUDIN timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Tiada ulasan: