Rabu, 24 April 2013

KEADILAN beri tempoh hingga 5 petang esok calon tanding Bebas tarik diri

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA : KEADILAN memberi tempoh sehingga jam 5 petang esok, 25 April untuk ahli yang bertanding sebagai calon Bebas menarik semula pencalonan mereka.

Perkara itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

WAWI

“Sebagai Presiden KEADILAN, saya memohon untuk mereka menggugurkan pencalonan dan menghantar permohonan maaf kepada parti sebelum jam 5 petang esok.

“Perjuangan ini mengatasi ego dan kepentingan peribadi. Kita mesti bersama parti dan rakyat menentang Umno dan Barisan Nasional,” kata Wan Azizah.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 dilihat paling banyak berlaku pertembungan pelbagai penjuru dan tindakan bertanding bebas yang bercanggah dengan aspirasi KEADILAN tidak boleh diterima.

Sementara itu, Pemangku Jawatankuasa Disiplin KEADILAN, Zulkefly Omar berkata, biro tersebut masih meneruskan rundingan dengan kira-kira 20 ahli untuk menarik semula pencalonan mereka.

Justeru katanya, jika penarikan tidak dibuat sehingga tempoh yang ditetapkan itu, tindakan tegas akan diambil termasuk dipecat.

Jelas Zulkefly, tindakan bertanding bebas melibatkan kira-kira 20 ahli biasa KEADILAN bersama seorang atau dua Ketua Cabang.

Dalam pada itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menambah, pelanggaran disiplin dan kesalahan pengkhianatan terhadap parti termasuklah tindakan membantu kempen melawan parti PAS dan DAP.

“Mana-mana ahli parti yang didapati membantu kempen lawan dianggap dipecat sebaik kita terima laporan.
“Bukan sahaja kempen menentang KEADILAN, tetapi terhadap parti-parti Pakatan. Kesalahan bukan sahaja membantu kempen Umno BN, tetapi termasuk calon Bebas.

“Kita tak boleh bertoleransi dalam hal begini,” tegas Tian.

Tiada ulasan: