Rabu, 24 April 2013

KEADILAN desak SPR perjelas undi pos polis dikeluarkan awal

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengedarkan kertas undi pos lebih awal iaitu semalam kepada anggota polis.

Beliau mempertikai tindakan SPR, berikutan pengundian awal hanya akan dijalankan pada 30 April, seminggu dari hari ini.

“Kita ingin penjelasan SPR, apakah kertas undi pos yang dikeluarkan hanya untuk pengundi pos anggota polis, atau pengundi pos luar negara?

“Jika (SPR keluarkan) untuk semua undi pos, kenapa (hanya) diedarkan kepada pihak polis (sahaja) semalam?” kata Wan Azizah pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Difahamkan, 6,000 undi pos dikeluarkan semalam dan beliau menuntut SPR memberi penjelasan berikutan sumber rasmi polis di laman webnya mengesahkan menerima undi pos untuk anggota dan pasangan anggota.

“Kita khuatir ada jurang masa sehingga ke tempoh mengira undi. Bagaimana undi itu disimpan? Siapa yang boleh pastikan undi pos terkawal?” soal Wan Azizah.

Beliau merujuk keadaannya sendiri pada 2004 apabila diberi jaminan SPR bahawa kertas undi pos di Parlimen Permatang Pauh yang disimpan di Maktab Perguruan Tuanku Bainun diawasi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Kemudian kami difahamkan kamera CCTV tersebut tidak mempunyai filem. Pengawasan kotak-kotak undi ini mesti diberitahu kepada pihak-pihak yang bertanding. Apa jaminan keselamatan?” soal Wan Azizah lagi.

“Kita mahu penjelasan SPR. PRU 13 adalah pilihan raya yang penting,” tegasnya

Kertas undi pos yang diterima awal polis dipercayai melibatkan Parlimen Setiawangsa yang ditandingi calon KEADILAN, Ibrahim Yaacob.
Kertas undi pos yang diterima awal polis dipercayai melibatkan Parlimen Setiawangsa yang ditandingi calon KEADILAN, Ibrahim Yaacob.

Tiada ulasan: