Sabtu, 6 April 2013

Kerajaan Selangor Gubal Pekeliling Jelas Fungsi Kerajaan Sementara


Azmin HQ PKR 01

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) menjadi kerajaan negeri pertama yang menggubal pekeliling untuk menerangkan fungsi dan limitasi kerajaan sementara selepas pembubaran DUN semalam.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini berkata pekeliling tersebut antaranya menghadkan penggunaan aset kerajaan untuk tujuan kempen dan memastikan penjawat awam tidak berpihak pada mana-mana parti.

Surat pekeliling yang dikeluarkan pada 19 Februari lalu telahpun diwartakan serta diedarkan kepada semua pihak.

“Konsep kerajaan sementara ialah satu ujian untuk menilai sama ada Pakatan Rakyat (PR) atau Umno-BN benar-benar berlaku adil dan menjujung semangat demokrasi tulen.

“Selama ini rakyat menjadi mangsa Umno-BN yang menyalahgunakan sumber dan jentera kerajaan untuk berkempen walaupun selepas pembubaran.

“Keadilan tidak akan mengkhianati prinsip demokrasi, kami akan menjunjung setiap prinsip demokrasi bermula dengan penghayatan amalan kerajaan sementara sebagai menghormati hak rakyat dan semua parti yang bertanding,” katanya.

Antara perkara yang ditetapkan ialah :

1. Penjawat awam sepanjang tempoh berkempen hendaklah berlaku adil dan tidak memihak kepada mana-mana parti.

2. Sebarang penggunaan aset atau fasiliti dan kakitangan kerajaan negeri bagi tujuan politik atau tujuan berkempen adalah dilarang sama sekali (penggunaan kenderaan rasmi dan bangunan kerajaan negeri termasuk bilik mesyuarat, telefon kerajaan, mesin faksmili, email dan komputer milik kerajaan).

“Semua pihak hendaklah mematuhi arahan seperti yang tertakluk dalam pekeliling ini.

“Tindakan Kerajaan Negeri ini adalah sama sekali berbeza dengan Kerajaan Pusat di mana menterinya baru merujuk kepada peguam negara untuk menggubal garis panduan kerajaan sementara,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan kenderaan rasmi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diberikan kepadanya telah dipulangkan semula sebagai langkah menghormati kerajaan sementara.

Katanya, tindakan itu perlu dicontohi pimpinan Umno-BN bagi membuktikan mereka tidak menggunakan aset negeri dengan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik.

Tiada ulasan: