Ahad, 7 April 2013

Lebih 1,000 pekerja bank piket di KL, kecam adik Najib

Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Lebih 1,000 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) berhimpun sempena ‘Piket Daulat 6413′ di Menara Maybank di ibu negara hari ini bagi membantah pengurusan  bank yang menganiaya mereka.

Nube 1

Kumpulan baju merah itu berarak dari Dataran Maybank ke bangunan CIMB di Jalan Tun Perak sambil membawa pelbagai sepanduk mengecam pengurusan tiga bank  iaitu CIMB, Maybank dan Bank Mualamat.

Mereka membawa sepanduk dan kain rentang tertulis perkataan ‘Pekerja Maybank Ditipu’, ‘Adik Najib Razak Mungkir Janji’, Maybank Anti-Kesatuan’ dan ‘Bank GLC Malaysia, Pengganas Berlesen’.

Setiausaha Agung Nube, J Solomon berkata, himpunan dibuat sempena genap setahun pemecatan dua pegawai kesatuan pekerja Maybank, Abd Jamil dan Cheng Kah Fat kerana aktiviti kesatuan.

“Kita dah jumpa PM Najib dan janji selesaikan  perkara. Tapi sampai sekarang masih tak selesai,” kata Solomon yang memaklumkan NUBE menuntut 10 perkara dalam piket berkenaan.

Nube 2

Antaranya termasuk gaji munasabah, kebajikan pekerja dan hak berpersatuan selain menghentikan eksploitasi pekerja dan layanan buruk terhadap pekerja hamil.

“Ketika CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Maybank dapat bonus prestasi 24 bulan gaji, tapi bila nak beri gaji pada pekerja pun susah. Sedangkan mereka ini bergaji hingga RM120,000 sebulan. Ini menggalakkan jurang pendapatan.

“Masih ada pekerja mendapat gaji RM845 sebulan. Ini berada di bawah paras gaji minima,” katanya menambah piket ini antara yang terbesar pernah dianjurkan Nube.

Tambah Solomon, mesyuarat Exco Nube akan diadakan minggu depan untuk membincangkan langkah seterusnya.

“Harap CEO GLC jangan jadi pekak dan dengar tuntuan kami,” tegasnya kepada Keadilan Daily.

Untuk tonton suasana demo, KLIK INI.

Tiada ulasan: