Rabu, 3 April 2013

Lebih Setengah Juta Telah Dibelanjakan Untuk Bantuan Pra Sekolah


Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 08

SHAH ALAM : Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM 600,000 untuk memberi bantuan Tadika dan Taska kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan serta tindakan pihak tertentu yang menyaman Kerajaan Negeri kerana kononnya gagal menunaikan janji pilihanraya 2008 untuk memberi bantuan pra sekolah.

Bagi tahun 2012, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang mula dilancarkan pada Julai tahun itu berjaya menarik penyertaan seramai 1,903 kanak-kanak daripada 217 buah tadika yang menyertai skim tersebut.

Tahun lalu, RM 210,475 dibelanjakan untuk skim Tunas, di mana keluarga berpendapatan RM 1,500 mendapat RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka ke tadika.

Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 05

Namun, atas permintaan masyarakat, tahun ini Kerajaan Negeri menaikkan syarat itu kepada keluarga yang berpendapatan RM 2,500 sebulan.

Syarat kelayakan baru itu berjaya menarik 2,420 kanak-kanak daripada 406 buah tadika sehingga hujung Mac lalu dengan peruntukan berjumlah RM 430,220.

Bagi Skim Si Kembar pula, bermula awal tahun ini sehingga Mac lalu, seramai 164 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada 34 buah taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, saman tersebut tidak seharusnya timbul kerana bantuan sudahpun disalurkan.

“Ramai yang layak dan memenuhi syarat sudahpun menerima manfaat daripada inisiatif Skim Bantuan Tunas ini.

“Kita pastinya akan teruskan skim ini pada masa-masa akan datang dengan penambahbaikan agar rakyat terus memperoleh manfaat daripada program ini,” jelasnya.

Tiada ulasan: