Isnin, 1 April 2013

Mahathir: Jangan bagi pembangkang menang di Johor

MOHD FIRDAUS YON

Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
 
JOHOR BAHRU - Rakyat Johor disaran tidak membenarkan sama sekali calon Pakatan Rakyat (PR) menang sama ada kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rekod dan prestasi Johor sebagai 'deposit tetap' Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan.

"Melalui apa yang media laporkan, mereka (pembangkang) mahu bertanding di Johor. Jadi saya mahu tidak ada calon dari parti lawan dibenarkan menang di Johor.

"Kekalkan rekod Johor, prestasi Johor sebagai 'fixed deposit' BN," katanya semasa berucap pada program Bicara Perdana Bersama

Pemimpin Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas, di sini malam tadi.

Pada kali ini, dua pemimpin kanan PR iaitu Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub masing-masing Penasihat DAP dan Naib Presiden Pas akan bertanding di Johor.

Sambil menyifatkan Johor sebagai contoh negara, Dr Mahathir berbangga dengan rakyat Johor dan pencapaian pada pilihan raya umum terdahulu kerana terus menyokong serta memilih BN.

"Harap Johor akan menang tiap-tiap pilihan raya umum dan kemenangan diraih adalah 100 peratus.

"Inilah Johor iaitu sebuah negeri yang mencerminkan Malaysia. Negeri berbilang bangsa dan agama sentiasa memberi kerjasama serta sokongan kepada pemimpin-pemimpin BN yang bertanding seterusnya membawa kemenangan," katanya.

Tiada ulasan: