Rabu, 10 April 2013

Mahkamah sahkan Tian Chua layak tanding PRU 13

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA : KEADILAN menegaskan, penyandang Parlimen Batu, Tian Chua layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Ini kerana Hakim Mahkamah Tinggi, Ghazali Cha dalam penghakiman bertulis pada 17 Jun 2010 mengenepikan hukuman asal, iaitu penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang diputuskan Majistret Mohd Faizi Che Abu.

“Tian Chua layak bertanding walaupun denda RM2,000 dikenakan terhadapnya sebelum ini dalam satu dakwaan kes jenayah berikutan sutu perhimpunan awam.

“Hakim Ghazali telah mengurangkan denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika denda tak dibayar.

Izzah

“Beliau memutuskan Tian kekal sebagai Ahli Parlimen Batu dan tidak hilang kelayakan,” menurut kenyataan Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dibacakan Nurul Izzah Anwar.

Merujuk perenggan 42 penghakiman, Hakim Ghazali menyatakan keputusan diambil untuk tidak menjadikan Tian hilang kelayakan secara automatik.

Ini kerana denda untuk menjadikannya hilang kelayakan adalah RM2,001.00 ke atas, bukannya bermula daripada RM2,000.00.

Tegas Izzah, Parlimen juga sedia maklum tentang fakta kes dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghilangkan kelayakan Tian sebagai Ahli Parlimen.

“Jelas kedua-dua Parlimen dan SPR bersetuju dengan penghakiman Ghazali atau sekurang-kurangnya melihat tiada keperluan untuk berbeza pendapat dalam hal ini.

“KEADILAN menjangkakan bahawa SPR akan mengarahkan pegawai pengurus di Parlimen Batu untuk bertindak sewajarnya dalam hal ini,” kata Nurul Izzah. – SDQ

Tiada ulasan: