Ahad, 7 April 2013

Malaysia akan selamat kalau ada lebih banyak Ibrahim Ali, kata Dr M

Oleh Mohd Farhan Darwis

SHAH ALAM— Malaysia akan selamat sekiranya mempunyai lebih ramai individu seperti Datuk Ibrahim Ali, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, Ibrahim (gambar), yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) adalah orang yang patut disokong dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kerana beliau adalah pihak yang mahu merealisasikan gagasan 1 Malaysia anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau ada banyak orang macam Ibrahim ini, Malaysia akan selamat ... Inilah orang yang kita patut sokong, dia tidak pentingkan diri,” katanya di hadapan hampir 5,000 penyokong Perkasa dalam satu majlis pertemuan di sini petang tadi.

“Saya harap Barisan Nasional (BN) akan bagi tempat kepada Ibrahim Ali untuk bertanding,” kata bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun itu lagi.

Dr Mahathir juga dalam ucapannya berjanji akan turun berkempen untuk Ibrahim sekiranya BN mencalonkan pemimpin pendesak Melayu itu sekali lagi di kerusi Pasir Mas.

“Jika Ibrahim dijadikan calon saya akan pergi ke Pasir Mas, untuk berkempen,” kata Dr Mahathir lagi disambut sorakan penyokong Parkasa yang hadir.

Jelasnya lagi, Perkasa bukan calang-calang pertubuhan kerana mereka mempunyai keanggotaan yang lebih ramai daripada PAS.

“Dia punya Perkasa bukan calang-calang ... ada 400,000 ahli, mungkin lebih besar daripada PAS,” tegas Dr Mahathir.

Tambah veteran Umno itu lagi, dengan penubuhan Perkasa itu juga, mereka bukan berniat untuk bertanding sebaliknya menyuarakan sokongan kepada BN dalam PRU 13.

“Baik juga ada Perkasa ini ... dia (Ibrahim) tubuh perkasa bukan untuk bertanding, nak sokong BN, tiap kali dia bercakap dia puji Najib, dia juga nak satu Malaysia,” katanya lagi.

Tiada ulasan: