Selasa, 16 April 2013

Manifesto PR Perak utamakan kebajikan semua rakyat, Islam tetap terbela

Roketkini.com



IPOH: Pakatan Rakyat Negeri Perak sudah lama bersiap sedia untuk mentadbir semula negeri itu justeru mencatatkan sejarah apabila mendahului Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto khas untuk Perak yang bertemakan TAKWA iaitu Telus, Amanah, Kebajikan, Wawasan dan Adil.

Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, berkata tema TAKWA yang disepakati semua parti gabungan iaitu PAS, PKR dan DAP adalah selaras dengan keperluan negeri ini yang jauh tertinggal walaupun Perak sebuah negeri yang kaya dengan sumber dan hasil.

“Bagaimanapun, kita harus sedar, kini Perak menjadi negeri ketiga termiskin di Malaysia setelah lebih 50 tahun diurus tadibir oleh BN,” katanya.

Menurut Nizar, Manifesto PR Perak memberi penekanan kepada seluruh aspek keperluan kebajikan rakyat termasuk iltizam menjalankan proses secara terbuka dan telus.

Katanya, antara yang menarik dalam TAKWA ialah tawaran membasmi kemiskinan tegar dengan bantuan bulanan supaya pendapatan isi rumah mencapai sekurang-kurangnya RM760 sebulan dan bantuan RM1,000 bagi waris mengurusan jenazah.

Ia juga membuktikan komitmen PR membina rumah mampu milik dengan menyediakan 30,000 lot kediaman baru untuk lima tahun melalui pembukaan kampung tersusun.

“Pada masa yang sama, PR akan menawarkan surat hak milik kekal kepada rakyat yang mendiami kampung tersusun dan kampung baru meliputi hak milik kekal bagi kampung tradisional,” ujarnya.

Selain memperuntukkan RM250,000 setahun kepada setiap Dewan Undangan Negeri melangkaui fahaman politik, kerajaan PR negeri Perak juga bertekad memberi RM2 juta peruntukan khas untuk anugerah integriti, program latihan untuk kakitangan kerajaan dalam membanteras amalan rasuah.

Dalam hal ehwal belia dan wanita, TAKWA menawarkan insentif menarik antaranya bantuan sara hidup bagi ibu tunggal berusia di bawah 50 tahun yang tidak bekerja dan tiada pencen suami selain menubuhkan pusat diagnostik wanita dan klinik kesihatan bergerak luar bandar khusus untuk pencegahan awal barah di kalangan wanita.

“Bagi pelajar ijazah pertama, PR akan memberi bantuan sebanyak RM2,000 kepada semua anak Perak yang layak,” ujar Nizar.

Bagi memperkasakan institusi rakyat, PR mempunyai komitmen yang tinggi untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan adil untuk semua. Kita juga akan menaik taraf kemudahan di semua sekolah agama kerajaan negeri, menubuhkan tabung khas pengupayaan belia India dan Orang Asal dan tidak lupa menyediakan tanah yang mencukupi bagi sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina.

“Kerajaan PR Negeri Perak juga akan menubuhkan akademi latihan imam bagi melahirkan imam berkualiti, berkelayakan dan mencukupi dan mengisytiharkan kawasan kerian dan Padang Rengas sebagai Bandar Warisan Ilmu Islam dengan peruntukan tetap,” katanya.

Nizar menjelaskan bahawa UMNO-BN tidak boleh lagi membohongi orang Melayu dengan dakwaan hanya mereka yang mampu membela masyarakat itu.

“Berbeza dengan PR, kita bukan setakat membela Melayu dan Islam, malah seluruh rakyat negeri ini jika diberi peluang mentadbir, InsyaAllah,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: