Sabtu, 6 April 2013

Masyarakat India sudah lama tolak MIC, Samy Vellu

Oleh: Ruqayya Rahman

KUALA LUMPUR- Kaum India di negara ini telah lama menolak MIC dan kepimpinan rasuah bekas Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu, kata Naib presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel semalam yang mengatakan terpulang kepada Pengerusi BN untuk memutuskan sama ada Samy Vellu wajar bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia susulan kenyataan Samy Vellu yang mengumumkan dirinya sebagai calon boleh menang jika diberi peluang bertanding semula di Sungai Siput.

Bagaimanapun, Palanivel hari ini membuat pusingan u apabila mengumumkan bekas ketuanya itu tidak akan dicalonkan semula.

Surendran berkata, kenyataan Palanivel sebelum ini menunjukkan seolah-olah MIC kekurangan calon berkualiti hingga terpaksa memilih muka lama yang disifatkan sebagai calon lapuk.

“Saya tak tahu Palanivel nilai dari sudut mana tapi kenyataan beliau itu menunjukkan MIC seolah-olah ketandusan calon muda dan bersih rasuah,” kata Surendran.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana seorang bekas menteri yang terbabit dengan isu rasuah seperti Samy Vellu dapat diterima semula untuk mewakili kepentingan masyarakat India.

“Kita sudah dedahkan pelbagai skandal rasuah Samy Vellu termasuk skandal Maika Holding melibatkan kontrak penyelengaraan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bernilai RM40 juta kepada anak lelakinya.

“Dengan pelbagai skandal rasuah dan kronisme ini, bagaimana beliau boleh isytiharkan dirinya sebagai calon boleh menang kalau diberi peluang bertanding lagi? Berapa banyak lagi duit rakyat dia nak tipu?,” soalnya.

Surendran berkata, sudah sampai masanya rakyat terutama kaum India buka mata dan menolak pemimpin seperti itu.

“Jika begini calon yang ingin ditampilkan oleh kerajaan Barisan Nasional, rakyat sepatutnya dapat menilai nasib negara ini jika terus dipimpin oleh rejim yang korup ini,”katanya.

Samy Vellu pada Rabu lalu yang memberi isyarat mahu bertanding semula dalam pilihan raya umum dan menyifatkan dirinya sebagai ‘Calon Boleh Menang’.

Beliau yang menjadi ahli Parlimen Sungai Siput sejak 1974, tewas pada 2008 kepada calon Parti Sosialis Malaysia, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dengan majoriti 1,821 undi.

Tiada ulasan: