Rabu, 24 April 2013

Mat Taib: PR boleh jadi kerajaan lebih baik

SINAR HARIAN
Muhammad Muhd Taib
Muhammad bercakap pada sidang media
 
PUTRAJAYA - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai Pas kelmarin berkata, sokongan yang diberikan ke atas parti itu adalah untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini.

Sehubungan itu kata beliau, PR boleh menjadi kerajaan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana rakyat telah memberi mandat sejak negara merdeka.

"... saya nak sokong Pas untuk sama-sama bantu, PKR dan DAP tubuhkan kerajaan di Putarajaya menggantikan Umno-BN.

"Biar PR pula ambil alih kerajaan di Malaysia kerana saya tahu mereka boleh lakukan yang lebih baik daripada Umno yang memerintah hampir setengah abad tapi masih ada masalah kemiskinan," kata beliau.

Beliau yang turut dikenali sebagai Mat Taib berkata demikian ketika berceramah membantu Datuk Husam Musa di Persint 9, Putrajaya malam tadi.

Husam, Naib Presiden Pas, mencabar penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Muhammad juga berkata, Putrajaya di bawah pimpinan Husam akan mendapat manfaat luas jika menawan kerusi itu.

Menurutnya, Husam mempunyai kriteria yang cukup untuk menjadi pemimpin yang berpandukan prinsip Islam sekali gus membawa perubahan kepada rakyat menjadi lebih baik berbanding BN.

Beliau juga berkata, kemunculan pemimpin Pas yang cerdik dan pandai dalam pelbagai bidang akan membantu negara maju selaras dengan prinsip Islam.

"Saya pernah jumpa dia (Husam) sebelum ini, dia kacak, badan boleh tahan tinggi pada saya, dia sangat bijak, warak, tegas... tuan-tuan pilihlah beliau menjadi ahli Parlimen Putrajaya.

"Pas sekarang sudah mempunyai ramai ahli cerdik pandai, Pas boleh buat lebih baik, biar Pas perintah negara," katanya.

Tiada ulasan: