Rabu, 10 April 2013

MBPJ : Kemuka Permohonan Sebelum Pasang Iklan Pilihan Raya


mbpj bendera parti 01

PETALING JAYA : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta semua parti politik yang ingin memaparkan iklan pilihan raya supaya mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Sekretariat media MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan itu perlu dibuat melalui penyelarasan parti mengikut Adun dan Parlimen masing-masing.

Menurut kenyataan itu, permohonan ini perlu dibuat sebagai langkah pengawalan pemasangan iklan pilihan raya di kawasan Petaling Jaya.

“Ingin dijelaskan bahawa syarat-syarat yang dinyatakan adalah bertujuan untuk memastikan semua iklan pilihan raya yang dipamerkan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak majlis.

“Di samping itu, pihak MBPJ ingin menjelaskan tentang tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil termasuk tindakan pendakwaan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan.” katanya.
Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah seperti berikut ;

1. Perlu mengisi borang iklan pilihan raya yang boleh didapati daripada Bahagian Pelesenan, Tingkat 6, Menara MBPJ, Jalan Tengah , 46200 Petaling Jaya.

2. Menjelaskan bayaran cagaran pemasangan iklan dan pembersihan seperti berikut :
i. RM 1,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)
ii. RM 2,000 bagi setiap Dewan Rakyat
iii. RM 3,000 bagi pembersihan sampah

3. Parti politik perlu mengalihkan segala iklan pilihan raya yang dipamerkan dan segala papan tanda atau struktur lain yang didirikan dalam masa 14 hari selepas hari mengundi.

4. Cara mempamerkan iklan pilihan raya di mana sesuatu iklan pilihan raya hendaklah dipamerkan mengikut mana-mana cara yang berikut:-
i. Dengan melekatkan pada suatu papan tanda atau struktur lain yang didirikan atau diletakkan oleh pemegang permit
ii. Dengan menggantungkan iklan pilihan raya itu sepanjang mana-mana lebuh pada pancang yang didirikan oleh pemegang permit.
iii. Dengan menanam penopang iklan pilihan raya itu ke dalam mana-mana paras tanah selain laluan jalan kaki yang diubinkan atau kaki lima, atau
iv. Dengan apa-apa cara lain sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Bandar dalam permit

5. Terdapat larangan terhadap mempamerkan iklan pilihan raya di tempat tertentu :
i. Mempamerkan apa-apa iklan pilihan raya atau membina atau mendirikan apa-apa papan tanda atau struktur lain mengikut apa-apa cara sehinggakan ia meliputi atau melindungi apa-apa isyarat lalulintas, tanda arahan, lampu jalan atau lampu perhiasan.
ii. Mempamerkan apa-apa iklan pilihan raya atas atau merintangi mana-mana lebuh; atau
iii. Mempamerkan apa-apa iklan pilihan raya pada mana-mana bangunan awam atau struktur lain dengan menggunakan paku, gam atau pelekat lain, atau dengan apa-apa cara lain yang akan merosakkan atau mencacatkan permukaaan bangunan atau struktur itu.

6. Pihak Majlis boleh melucuthakkan deposit sekiranya pihak tuan/puan gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan risiko di bawah tanggungan pihak tuan/puan.

7. Perlu diingatkan bahawa pejabat Ahli Majlis tidak boleh dijadikan bilik gerakan parti atau stor simpanan barang parti dan dilarang meletak kabin sebagai stor atau bilik gerakan parti di dalam mana-mana kawasan lapang Majlis.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Urusetia Permit Iklan, Bahagian Pelesenan, Tingkat 6, Menara MBPJ, Jalan Tengah, 46200 Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-7960 4667, 03- 7960 9026.

Tiada ulasan: