Selasa, 16 April 2013

MCA berdepan ‘pertempuran hidup mati’ pada PRU13, kata presiden

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— MCA berdepan “pertempuran hidup atau mati” pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan perlu menggunakan strategi baru untuk menghadapinya, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pada pilihan raya kali ini, parti itu melepaskan kerusi Parlimen Gelang Patah, yang kini menjadi medan pertempuran antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang. MCA akan bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu kurang tiga kerusi Parlimen berbanding pilihan raya 2008, dengan 68 muka baru di kalangan 127 calonnya.

Timbalan Ketua Wanita MCA Tan Ah Eng mempertahan kerusi Gelang Patah untuk BN pada 2008, bagaimanapun, beliau tidak akan bertanding kali ini dan laporan terdahulu menyatakan kerusi itu bakal diambil alih muka baru Jason Leong.

“PRU kali ini adalah pertempuran hidup atau mati untuk MCA, kita perlu mengetepikan perbezaan pendapat dan memastikan semua calon BN menang kerana keputusan itu akan memberi kesan terhadap masa depan politik MCA serta negara,” katanya.

Beliau berkata matlamat utama MCA ialah memastikan BN akan terus membentuk kerajaan selepas PRU.

“Untuk mereka yang tidak terpilih sebagai calon, saya faham kekecewaan yang dirasai bahagian anda, namun saya berharap anggota parti akan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dan marilah kita tunjukkan kesetiaan serta kasih sayang kepada parti, kita perlu kekal bersatu dalam menghadapi PRU,” kata Dr Chua yang juga tidak akan bertanding.

Selain Gelang Patah, MCA menggugurkan Kuantan dan Wangsa Maju daripada senarainya. Turut digugurkan ialah penyandang kerusi Pandan, yang juga bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee, sekali gus menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan sama ada beliau akan bertanding atau tidak.

Ong diganti peguam berusia 39 tahun, Garry Lim Chin Yee, iaitu penasihat undang-undang MCA bahagian Pandan, yang bakal berdepan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Dua Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, penyandang kerusi Raub, dan Senator Gan Ping Sieu, yang sebelum ini diuar-uar akan bertanding di kerusi Parlimen Kluang, turut diketepi.

Anggota Jawatankuasa Pusat MCA merangkap Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Pembangunan Keluarga Senator Datuk Heng Seai Kie pula akan membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Padang Serai serta berdepan calon PKR N. Surendran.

Kerusi Pulai pula akan dipertahan Timbalan Pengerusi bahagian parti itu Tay Chin Hein, 45, iaitu mengambil alih tempat bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting, yang tidak akan bertanding.

Abang Ka Ting iaitu Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang juga bekas Setiausaha Agung MCA, pula akan bertanding untuk penggal kedua di kawasan Parlimen Tanjung Malim.

Berusia 70 tahun, Datuk Yap Pian Hon pula menjadi calon tertua parti itu dan beliau berazam mengembalikan kerusi Parlimen Serdang selepas tewas pada PRU 2008 manakala calon termuda MCA ialah Daniel Wa Wai How, 25, yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Keranji di Perak.

Beliau merupakan pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong, yang bakal mempertahan kerusi Parlimen Kampar.

MCA juga bertukar dua kerusi DUN dengan Jelapang diserah kepada MIC untuk kerusi Sungkai manakala Tanah Rata diserah kepada Gerakan untuk kerusi Ketari di Pahang. Parti itu diberi kerusi DUN Luyang di Sabah bagi menggantikan kerusi Kota Laksamana di Melaka, yang bakal ditandingi calon Parti Progresif Rakyat (PPP).

Bagaimanapun, MCA belum menamakan calon untuk kerusi DUN Teras di Pahang dan Parit Yaani di Johor. Secara keseluruhan, 19 calon atau 51 peratus daripada 37 calon MCA yang bakal bertanding di kerusi Parlimen adalah muka baru. Bagi kerusi DUN, parti itu memilih 49 muka baru yang mewakili 54 peratus daripada 90 calon MCA. — Bernama

Tiada ulasan: