Khamis, 11 April 2013

MCA sahkan kerusi Kuantan dipinjamkan kepada Umno

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

KUALA LUMPUR — MCA mengesahkan hari ini kerusi parlimen Kuantan akan dipinjamkan kepada Umno pada Pilihan Raya 2013, sebagai langkah Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan undi Melayu secara maksimum di kawasan kontroversi akibat daripada loji nadir bumi Lynas.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan mengenai itu hari ini, mengakui kerusi Kuantan sekarang ini dilihat lebih cerah untuk dimenangi oleh Umno kerana pengundi Melayu berjumlah 63 peratus daripada 50,000 pengundi.

“Kuantan dipinjamkan kepada Umno kerana Umno merasakan mereka boleh menang kerusi itu,” kata beliau dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa MCA di ibu pejabat parti.

Dr Chua juga mengesahkan kerusi Kota Laksamana di Melaka akan dipinjamkan kepada Parti Progresif Rakyat (PPP) sementara berlaku pertukaran kerusi dengan Gerakan di Pahang, dengan Gerakan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan MCA akan mengambil kerusi DUN Ketari.

Tiada ulasan: