Ahad, 14 April 2013

Melayu jadi MB apabila Pakatan tawan Negeri Sembilan – DAP

Aedi Asri

KUALA PILAH : Pakatan Rakyat akan melantik Menteri Besar di kalangan orang Melayu apabila membentuk kerajaan negeri selepas PRU 13, kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fok.

Ia sekaligus menafikan strategi Umno BN yang cuba menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat Melayu negeri itu kepada DAP, semata-mata untuk mengekal kuasa.

“Umno hendak takut-takutkan orang Melayu, kononnya kalau Pakatan menang, kuasa politik akan jatuh ke tangan DAP. Anthony Loke akan jadi Menteri Besar.

“Saya sudah cakap berulang kali, kalau Pakatan menang di Negeri Sembilan, kita akan angkat semangat Perlembagaan Negeri.

“Seorang pemimpin Melayu beragama Islam akan diangkat jadi MB,” katanya depan ribuan hadirin dalam program ‘Jelajah Pakatan Harapan Rakyat’ di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

Sebelum ini, beliau menyatakan komitmen sama dalam satu wawancara bersama laman Roket Kini.

Anthony berkata, masyarakat bukan Melayu tiada masalah untuk menerima pemimpin termasuk Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu.

“Bezanya, kita tidak mahu Perdana Menteri yang kotor dan rasuah dari BN. Kita mahu yang bersih dan berwibawa iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya disambut sorakan gemuruh.(FZL)

Tiada ulasan: