Isnin, 1 April 2013

Michelle Yeoh Mahu Terus Aktif Dalam Dunia Hiburan

MALAYSIA CHRONICLE

KUCHING -- Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia Datuk Seri Michelle Yeoh berkata beliau mahu terus aktif dalam industri hiburan kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang itu.

Beliau secara berjenaka berkata dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapainya dalam industri, ia bukan merupakan petanda untuk beliau bersara.

"Saya memperoleh banyak kejayaan seumur hidup, saya harap ia bukan menandakan mesej 'untuk pulang sekarang', tetapi saya menganggapnya sebagai insentif untuk melakukan lebih baik. Saya mencapainya dan akan cuba mencapai lebih lagi," katanya kepada pemberita di Kuching, Jumaat malam.

Yeoh berada di Kuching sempena Anugerah Festival Filem Antarabangsa dan Asean 2013 (AIFFA) selama tiga hari yang berakhir Sabtu.

Beliau dilahirkan pada 6 Ogos di Ipoh. Mula terkenal apabila melakukan aksi ngeri sendiri dalam filem-filem aksi Hong Kong pada awal 1990-an.

Pelakon itu terus menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem James Bond bertajuk 'Tomorrow Never Dies'.

Beliau terus mendapat penghormatan apabila dipilih memegang watak pemimpin prodemokrasi Burma, Aung San Suu Kyi dalam filem 'The Lady'.

Mengenai filem terbaharunya, Yeoh berkata ia diarahkan pengarah kelahiran Korea-Amerika, Gina Kim yang kini pada peringkat pascaproduksi yang beliau harap dapat ditayangkan musim panas ini.

Beliau juga berkata akan melancarkan program pencarian bakat baharu bagi mencari bintang Asia.

"Kami dalam proses perancangan, apabila kami bersedia nanti kami akan mengumumkannya," katanya.
--BERNAMA

Tiada ulasan: