Sabtu, 6 April 2013

'Mike' tarikan baru ceramah PAS




Oleh FAIZ ABDULLAH 

DALAM sirkit ceramah Pakatan Rakyat di kawasan majoriti Melayu, kehadiran penceramah bukan Melayu boleh dibilang dengan jari. Kalau ada pun sekali sekala. Mungkin gaya penyampaian penceramah bukan Melayu kurang menambat hati pendengar orang Melayu dan mungkin juga pemimpin itu kurang popular atau kurang menonjol di kalangan penyokong berbangsa Melayu.

Suatu ketika dulu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan merupakan penceramah bukan Melayu paling top dalam sirkit ceramah PAS dan KeADILan. Beliau dianggap 'crowd puller' walaupun di lokasi majoriti Melayu termasuk di Kelantan. Namun kini itu semua tinggal sejarah kerana Gobala tidak lagi bersama KeADILan-Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (KeADILan) dan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim (DAP) merupakan nama bukan Melayu yang tidak asing dalam pentas ceramah. Tetapi secara keseluruhannya penceramah bukan Melayu boleh dikategorikan sebagai jarang muncul di dalam 'crowd' Melayu.Kalau ada pun cuma membabitkan pemimpin tempatan bukan Melayu di negeri masing-masing. Jarang dapat melihat mana-mana pemimpin bukan Melayu muncul di atas pentas ceramah di kawasan majoriti Melayu di serata tanah air secara 'regular' melainkan di negeri asal mereka sendiri.

Kini penantian peminat ceramah Pakatan Rakyat berakhir apabila nama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mula meniti di bibir penyokong Melayu PAS dan KeADILan. Ini terbukti melalui kemunculannya di Paroi dan Felda Palong, Negeri Sembilan; Sembrong dan Paloh, Johor; Bera, Kuala Krau dan Temerloh, Pahang; Bandar Baru Kulim, Kedah; Sabak Bernam dan Sungai Besar, Selangor dan Jasin, Melaka. 

Harakah mengikuti beberapa siri ceramah PAS dan KeADILan di kawasan majoriti Melayu yang menampilkan Manikavasagam sebagai salah seorang penceramah.Ternyata Manikavasagam sudah dapat mencuri hati penyokong. Dikatakan Manikavasagam yang lebih popular dengan panggilan Mike di kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat masih belum mencapai status 'crowd puller' di sirkit ceramah peringkat nasional kerana masih banyak Kawasan PAS dan Cabang KeADILan yang tidak menyedari kehadirannya..

Penguasaan bahasa Melayu Mike yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KeADILan, adalah baik. "Mike faham budi bahasa dan adat sopan santun orang Melayu. Walaupun dia buat sindiran terhadap pemimpin Barisan Nasional tertentu, tetapi sindiran beliau berhemah dan disulam pula dengan elemen lawak jenaka. Beliau mampu membuatkan orang ramai pecah perut dengan gelak ketawa. Audien Melayu boleh terima dengan mudah dan faham fakta serta hujah yang disampaikan oleh Mike," kata Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohd Hassan Tamby.

Berdasarkan pemerhatian Harakah, Mike yang berumur 48 tahun; juga tidak lokek merakamkan penghargaan kepada PAS secara terbuka di atas sumbangan jentera PAS Kapar ketika beliau bertanding dalam pilihan raya di Kapar pada Mac 2008.

"Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengarahkan saya untuk bertanding di Kapar pada PRU12 pada Mac 2008. Ketika itu saya cuma mempunyai 12 ahli KeADILan sahaja untuk membantu saya berkempen di Kapar. Saya tidak akan lupa jasa ahli-ahli PAS Kapar yang membantu saya berkempen di Kapar termasuk kerja-kerja persiapan ceramah, menampal poster, memasang bendera dan pengedaran risalah. Saya juga tidak akan lupa jasa Dr Abdul Rani Osman (Adun Meru dan Pesuruhjaya PAS Selangor) yang turut menghantar 'orang' beliau untuk membantu saya berkempen.

"Sekarang pun Dr Abdul Rani dan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali yang juga dari PAS banyak membantu pengundi saya di Kapar. Tidak lupa Adun Sungai Pinang, Dato' Teng Cham Kim. Dun Meru, Selat Klang dan Sungai Pinang di bawah Parlimen Kapar," jelas Mike kepada lebih 1,000 hadirian, kebanyakannya orang Melayu di Senawang dalam program ceramah PAS Rembau malam minggu lalu. 

Selama sejam Mike berceramah, hilaian gelak ketawa daripada orang ramai tidak putus-putus kedengaran apabila mendengar ucapannya yang 'panas' tapi kelakar.

Mike juga menyentuh beberapa isu terkini termasuk kes pembunuhan ahli perniagaan Dato' Sosilawati Lawiya, yang boleh diklasifikasikan sebagai rahsia atau sensitif. Penulis tidak mahu berkongsi intipati isu itu di sini, sebaliknya biarlah pembaca mengetahui sendiri jika Mike berceramah di tempat anda nanti.  Bukan mudah membuat penonton gelak, tapi Mike mempunyai 'skill' (kemahiran) tersendiri untuk mengamatkan sirkit ceramah Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: