Sabtu, 27 April 2013

Mufti Pahang: Jangan berkempen hingga melampaui batas

SINAR HARIAN

Datuk Abdul Rahman Othman
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman
 
KUANTAN - Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman berkata sebarang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) perlu dibuat secara berhemah dan tidak keterlaluan.

Ini kerana, katanya kempen yang dibuat secara keterlaluan dan melampaui batas dikhuatiri boleh mengundang fitnah.
 
"Kita tidak boleh cakap melampau, walaupun benda itu halal seperti makanan yang kita tidak boleh makan secara berlebihan dan melampau.
 
"Semua umat Islam mempunyai talian persaudaraan antara satu sama lain dan tidak boleh zalim-menzalimi, menghina dan meletakkan kesusahan sesama saudara berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Abdul Rahman berkata umat Islam adalah haram untuk mendedahkan keaiban umat Islam yang lain.
 
Beliau berkata dalam kempen PRU13, perkara yang sepatutnya dibuat adalah bercakap mengenai keharmonian negara dan perkara yang baik dan bukannya memburukkan pihak lain.  - Bernama

Tiada ulasan: