Sabtu, 27 April 2013

Nafsu masih kuat, tenaga dah tak ada



Oleh Aspan Alias

Ketentuan Tuhan kita tidak tahu. Tetapi ketentuan akal sudah menunjukkan kerajaan BN Negeri Sembilan akan berakhir 5hb Mei ini. Tidak tahulah jika ada ‘teknoloji politik’ terbaru BN yang mampu mengalihkan kembali kecenderungan rakyat NS untuk kembali menyokong BN. Tetapi di saat ini Pakatan Rakyat lah yang akan menang.

Saya selalu berkata pihak mana yang melakukan kesilapan sedikit, pihak itulah yang akan tewas dalam pilihanraya ini. Sekarang jelas yang telah melakukan kesilapan ialah pihak BN. Mohamad Hasan tidak mahu melakukan perubahan. Beliau telah menurunkan ramai calon-calon ‘incumbent’ yang mengikut seorang yang memberitahu saya merupakan calon-calon ‘jering basau’ terutamanya bagi kawasan Kuala Pilah.


DUN Johol, Pilah dan Juasseh hampir pasti jatuh ketangan PR selain dari Lenggeng, Klawang dan Chennah. Jika mengikut ketentuan akal, Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru di Negeri Sembilan. Jika Mohamad Hasan menang di Rantau beliau akan merupakan seorang yang penuh dengan pengalaman. Beliau berpengalaman menjadi Menteri Besar dan kali ini beliau akan berpengalaman pula menjadi Ketua Pembangkang pula.

Tetapi bak kata saya tadi itu hanyalah ketentuan akal. Ketentuan Tuhan tidak ada siapa yang tahu. Segala perancangan kita hanya Tuhan yang menjadi penentunya. Itu sebab saya selalu mengingatkan pihak Pakatan Rakyat, jangan buangkan air dalam tempayan dahulu. Tunggu hujan itu betul-betul turun dahulu. Jangan terus belunjur sebelum duduk.

Tetapi apa pun masanya sememangnya sudah sampai untuk yang kuat menjadi lemah. UMNO yang kuat hanya pada soraknya sahaja sekarang ini. Tenaganya sudah luntur. Bak kata orang tua-tua Negeri Sembilan ‘ghoso eh kuek, tapi kojo tak solosai’. Maknanya, nafsu masih kuat, tetapi tenaga sudah tidak ada lagi.

Tiada ulasan: