Selasa, 30 April 2013

Najib Dolak-dalik, Tidak Ikhlas Selesai Projek CAR


Rampas Tanah di Kampung Sungai Terentang 01

SELAYANG, : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berdolak-dalik berhubung penyelesaian isu projek pemasangan kabel bervoltan tinggi di Kampung Sungai Terentang di sini.

Calon PKR DUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, janji yang dibuat Najib semasa mengadakan lawatan ke kampung itu disifatkan tidak ikhlas malah berbentuk ugutan.

Ini kerana dakwanya, Najib meletakkan syarat berbaur paksaan kepada rakyat di kawasan itu supaya mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) kali ini sebelum projek itu dapat diselesaikan.

“Kita telah hantar memo dan surat berulang kali kepada Perdana Menteri dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk membuat rundingan bagi menyelesaikan kes ini tetapi tiada respon yang diberikan sehingga sekarang.

“Lawatan Najib ke Kampung Sungai Terentang tidak menunjukkan komitmen beliau untuk menyelesaikan masalah ini. Rakyat perlu ubah kerajaan, itu sahaja caranya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR Selayang, di sini.

Sementara itu, calon PKR Parlimen Selayang, William Leong kesal terhadap tindakan pimpinan BN yang menjadikan isu ini sebagai medan politik untuk meraih undi.

Tegasnya, masalah itu boleh diselesaikan dengan segera memandangkan Najib mempunyai kuasa untuk mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan prrojek pemasangan kabel itu mengikut laluan alternatif yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, penduduk membantah projek itu kerana laluan bagi pencawang kabel voltan tinggi akan merentasi kampung mereka dan dikatakan akan menyebabkan penduduk berdepan risiko penyakit kanser, keukimia dan masalah kandungan.

Rumah penduduk, padang, dewan orang ramai, rumah ibadat dan premis perniagaan bakal dirobohkan jika TNB mengikut laluan asal CAR.

Bagaimanapun, pelan asal itu dihalang oleh Kerajaan Negeri Selangor yang berunding dengan TNB untuk mencari laluan alternatif yang tidak akan menjejaskan kampung tersebut

Tiada ulasan: