Isnin, 1 April 2013

Najib perlu umum jika mahu parlimen dibubar automatik

Oleh: Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR : Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut mengumumkan jika mahu parlimen terbubar  sendiri, 28 April ini sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri  ditetapkan secara automatik selepas genap lima tahun.

Menganggap ia cadangan yang baik, Aziz berkata penetapan itu boleh mengelakkan teka teki seperti sekarang yang disifatkan membuang masa.

“Memang elok kalau ditetapkan begitu. Jadi tak timbul suspen yang membuang masa ini. Masalahnya selama ini Umno fikir bubar dewan itu hak mutlak mereka.

“Lucunya mereka tak tahu, kalau parlimen tidak dibubar,  ia akan terbubar sendiri bila sudah ranum,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, sebagai pemimpin bertanggungjawab, Najib seharusnya memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi yang akhirnya menyulitkan ekonomi negara.

“Sebaiknya dia (Najib) kena beritahu kepada rakyat jika mahu memilih dewan terbubar secara automatik. Jika tidak ia akan menimbulkan kesulitan dari segi ekonomi dan pelabur.

“Dia kena berani bercakap kerana ini adalah masalah negara dan pentadbiran,” ujar bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini.

Aziz merujuk langkah diambil perdana menteri Australia, yang memohon pembubaran parlimen Ogos ini bagi membolehkan pilihan raya di negara itu diadakan September depan.

“Ertinya jika tidak ada masalah,  kerajaan (boleh) membuat pengumuman yang dewan akan terbubar bila ia genap lima tahun.

“(Pengumuman) Ini boleh dibuat sekitar 4  tahun atau bila sudah masuk tahun ke lima,” tambah beliau sambil menyarankan Pakatan memulakan langkah berkenaan.

Tiada ulasan: