Selasa, 9 April 2013

Pakatan masih belum pasti mengangkat Nizar sebagai MB Perak jika menang PRU13

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

 Ketidaktentuan jelas mengenai pilihan calon menteri besar PR memberi gambaran kemungkinan perebutan bagi jawatan itu selepas pilihan raya, sama seperti peristiwa selepas Pilihan Raya 2008 yang membawa kepada pelantikan Nizar. - Gambar fail IPOH, – Pakatan Rakyat (PR) sangat yakin mereka boleh membentuk kerajaan negeri Perak selepas Pilihan Raya 2013 akan tetapi pemimpin negeri masih lagi belum menetapkan siapa calon menteri besar disebalik Barisan Nasional (BN) yang turut yakin akan dapat mempertahankan negeri tersebut.

The Malaysian Insider difahamkan dikala majoriti kepimpinan tertinggi DAP dan sebahagian dari PAS masih mahu Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengisi jawatan tersebut, sebahagian mengintainya untuk diri sendiri dan percaya pemimpin lantang PAS itu tidak sesuai untuk dicalonkan kali ini.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PR Perak yang tidak mahu dinamakan mengatakan terdapat segelintir dalam PAS merasakan Nizar tidak seharusnya mengambil jawatan tersebut oleh kerana ketidak popularan beliau dikalangan majoriti masyarakat Melayu konservatif negeri tersebut.

Akan tetapi oleh kerana sokongan kuat dikalangan bukan Melayu, terutamanya Cina dan Muslim liberal, ADUN tersebut mengatakan DAP Perak bertegas Nizar yang berumur 56 tahun itu akan kembali memimpin negeri selepas Pilihan Raya 2013.

“Masih dibangkitkan isu Nizar adalah boneka DAP… ketika beliau masih MB, beliau hanya mengikut apa yang dikatakan oleh pemimpin DAP.

“Saya dengar PAS mempunyai turut mempunyai masalah dengan beliau… beliau tidak dipilih sebagai calon MB, walaupun telah dipersetujui ini akan dibincangkan jika Pakatan menang di Perak sekali lagi,” kata ADUN tersebut kepada The Malaysian Insider.

Pemimpin tersebut menambah PKR Perak juga tidak memberikan komitmen untuk menjadikan Nizar sebagai menteri besar sekali lagi dengan kepercayaan terdapat ramai lagi yang sesuai untuk jawatan tersebut.

Apabila ditemui di ibu pejabat PAS di Medan Istana minggu lalu, pengarah pilihan raya PAS negeri Asmuni Awi mengakui masih “tiada konsensus” mengenai siapa harus menjadi calon menteri besar PR jika menang pilihan raya.

Tetapi dikala beliau meramalkan kemenangan pasti untuk PR dalam Pilihan Raya 2013, Asmuni memberitahu The Malaysian Insider perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan oleh kerana parti-parti PR tidak mahu terlalu fokus mengenai perkara itu.

“Kami belum putuskan mengenai perkara itu. Tiada kata sepakat tentang itu lagi. Tetapi bagi saya, walaupun saya dari PAS, ini adalah isu sampingan,” kata Asmuni, yang dijangka bertanding kerusi DUN Manjoi di sini dalam Pilihan Raya 2013.

Ketidaktentuan jelas mengenai pilihan calon menteri besar PR memberi gambaran kemungkinan perebutan bagi jawatan itu selepas pilihan raya, sama seperti peristiwa selepas Pilihan Raya 2008 yang membawa kepada pelantikan Nizar.

Nizar, seorang jurutera, telah diangkat ke jawatan menteri besar Perak ke-10 selepas berminggu-minggu perbahasan apabila parti-parti pembangkang DAP, PKR dan PAS berjaya menggulingkan kerajaan BN di Perak.

Pelantikan beliau telah mencetuskan kemarahan pemimpin-pemimpin tertentu DAP, sebahagian besarnya kerana beliau adalah seorang ahli PAS, parti yang telah memenangi  bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling sedikit pada ketika itu.

Mengikut konvensyen, parti yang menguasai kerusi DUN paling banyak akan memegang jawatan menteri besar tetapi mengikut Perlembagaan Perak, kedudukan perlu diberikan kepada seseorang yang berketurunan Melayu, kecuali dengan pengecualian Di Raja oleh Istana Perak.

DAP mendapat bilangan kerusi tertinggi pada masa itu, menyapu 18 kerusi berbanding tujuh PKR dan enam PAS. Apabila digabungkan, ketiga-tiga parti berjaya menubuhkan kerajaan minoriti dengan 31 kerusi, majoriti tiga kerusi berbanding BN yang mempunyai 28 kerusi.

Untuk menyelesaikan ketegangan, tiga nama di hantar kepada Sultan Perak untuk dipertimbangkan – Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP, Nizar dari PAS dan Jamaluddin Mohd Radzi dari PKR. Nizar yang dipilih oleh Sultan Perak.

Nizar disingkirkan dari jawatan tersebut selepas tiga ADUN melakukan pembelotan menyaksikan kerajaan negeri PR yang baru berkuasa selama 10 bulan ditumbangkan.

Apabila ditanya mengenai topik tersebut minggu lepas, Nizar mengatakan persepsi umum adalah beliau akan kembali ke jawatan tersebut sekiranya PR berjaya menawan semula Perak.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui PKR masih lagi “50-50” mengenai perkara tersebut, walaupun pemimpin pusat parti itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mahu beliau kembali memimpin.
“Tetapi saya selalu memberitahu rakan-rakan saya tidak mempunyai masalah dengan ini, keputusan akhir masih lagi ditangan Sultan. Akhirnya beliau yang menentukan,” tegas Nizar.

Apabila ditanya apakah beliau bersedia untuk kembali ke jawatan tersebut, Nizar mengatakan beliau lebih daripada bersedia oleh kerana tempoh perkhidmatan beliau menerajui negeri itu sebelum ini terlalu singkat.

“Kami yakin kita boleh teruskan segala usaha yang dijalankan pada ketika itu… ia begitu singkat.
“Saya percaya saya boleh uruskan sokongan pemimpin baru DAP dan PKR… kerana, saya ingin ingatkan, ketika kami memimpin negeri pada ketika itu, PKR mempunyai pemimpin yang berbeza…. sekarang mereka mempunyai barisan baru dengan pemikiran berbeza,” katanya.

Tiada ulasan: