Khamis, 25 April 2013

Pakatan menang, anak Johor dibawa masuk projek Iskandar

Oleh Aisha Geoffrey

SEGAMAT : Pakatan Rakyat akan membuka peluang kepada rakyat Johor untuk turut serta terlibat dalam meneruskan projek Iskandar Malaysia selepas menawan Putrajaya, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iskandar Malaysia merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di bahagian selatan Johor dan memerlukan kos lebih RM47 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama.

Bagaimanapun, projek itu tidak mendapat sokongan rakyat tempatan kerana 80 peratus dari tanah pembangunan itu dimonopoli orang asing, 30 peratus pula dikuasai kroni, termasuk Robert Kuok dan jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Ada media antarabangsa tanya saya bagaimana jika Pakatan menang, adakah (pembangunan) Iskandar akan dihentikan? Saya jawab, kita tidak akan halang, ia projek yang baik.

segamat 2

“Tetapi bagaimana projek ini boleh diteruskan? Tak ada satu pun syarikat Bumiputera, Cina pun tak ada, India lagilah,” kata Anwar di hadapan kira-kira 30,000 penyokong.

“Macam mana kamu boleh ada projek berpuluh bilion ringgit tetapi tidak ada anak Cina, anak India dan anak Melayu terlibat?” tegasnya pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan Rakyat di Padang Besar, Kampung Abdullah, Segamat malam tadi.

Iskandar berkeluasan 2,217 kilometer persegi turut menerima pelaburan daripada syarikat Singapura seperti pembinaan taman industri bernilai RM3 bilion oleh syarikat republik, Ascendas dengan kerjasama tempatan, UEM Land, milik Syed Mokhtar.

Selain itu, bilionair Singapura, Peter Lim juga melabur RM3 bilion untuk membina ‘Auto City’ di Nusajaya, dengan kemudahan trek lumba Formula 1, juga dengan kerjasama UEM Land.

Pelabur-pelabur Singapura turut terlibat membeli hartanah di kawasan Iskandar.

“Saudara, bila kita ambil alih Putrajaya, anak Johor mesti diberi kesempatan,” katanya disambut tepukan gemuruh rakyat.

Tiada ulasan: