Jumaat, 26 April 2013

Pakatan Rakyat Selangor akan bentang kad laporan

SINAR HARIAN
Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) akan membentangkan kad laporan pentadbirannya di Selangor.
  
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kad laporan itu akan dibentangkan sempena siri jelajah manifesto pakatan pembangkang pada 1 Mei di Klang.
  
Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau turut meminta rakyat tampil membuat laporan dan memberi maklumat jika ada calon dari mana-mana parti politik mahupun ejen parti politik menawarkan wang tunai ketika berkempen.
  
"Laporan boleh dibuat kepada saya, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis. Saya berharap Transparency International memantau isu ini supaya pilihan raya dijalankan secara adil dan bebas," katanya.
  
Abdul Khalid berkata pakatan pembangkang turut mengutuk kejadian letupan di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan di Sekinchan, Selangor dan menggesa polis menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.
  
Pada Selasa lepas, ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal dicemari insiden letupan yang berlaku di belakang pentas  bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.
  
Kejadian kira-kira 10.15 malam itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan.  - Bernama

Tiada ulasan: