Ahad, 14 April 2013

Pakatan urus kewangan dengan baik, bebas rasuah- Saifuddin

Oleh: Aliff Fikri

JOHOR BAHRU : Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan Rakyat berjaya mengurus kewangan negeri yang ditadbirnya dengan baik dan amanah selepas pilihan raya umum ke 12.

Malah, katanya, Pakatan turut mencapai rekod kewangan cemerlang di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah hasil  pentadbiran yang cekap dan bebas rasuah.

“Selangor contohnya, Mac 2008 (apabila kita) ambilalih daripada Umno BN, aset keuntungan pada akhir 2008 adalah RM600 juta.

“Hari ini, setelah 5 tahun memerintah di Selangor, aset negeri Selangor berjumlah RM2,600 juta. Peningkatan RM2,000 juta dalam tempoh 5 tahun.

“Di Kelantan, kita diiktiraf sebagai negeri yang bebas rasuah. 22 tahun memerintah tidak ada seorang pun rakyat atau pimpinan negeri yang diheret ke mahkamah kerana rasuah,” katanya depan 2,000 hadirin di Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Johor, semalam.

Katanya, kejayaan ini berpunca sikap amanah dan prinsip pimpinan yang mahu melihat rakyat memperoleh nikmat, bukan kerana mengejar kepentingan tertentu.

Mengaitkan  prinsip pengurusan kewangan dengan kisah Khulafa Al Rashidin, Saifuddin berkata harta yang sedikit tetapi diurus secara berhemah adalah lebih baik daripada harta yang banyak tapi diurus secara tidak adil.

Dalam pada itu Saifuddin berkata manifesto Pakatan Rakyat Johor yang mengandungi 15 perkara, sebahagiannya telah dilaksana di negeri Pakatan.

“Contohnya air percuma, jika ada yang mempersoalkannya, kita mesti ingat perjanjian air Johor-Singapura.

“Johor jual air kepada Singapura dengan harga murah iaitu 3 sen bagi setiap 1,000 liter. Singapura proses, rawat kemudian jual balik pada harga 50 sen Singapore dollar, perjanjian ini dikuatkuasakan sehingga tahun 2061.

“Ini perjanjian yang cukup unik hasil dari kepandaian Umno BN memerintah,” sinisnya.

Tiada ulasan: