Sabtu, 27 April 2013

Pang Chaw yakin rakyat Johor, pengundi Ayer Hitam sedia berubah



Oleh SALMAN HUSSIN
BATU PAHAT: Rakyat Johor khususnya orang Melayu, diajak melakukan perubahan, sepertimana berlaku di beberapa negeri lain. Tindakan berani rakyat negeri berkenaan melakukan perubahan ini telah membawa banyak manfaat termasuk pelbagai kemudahan yang tidak pernah dinikmati sebelum ini.

Keberanian rakyat Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang melakukan perubahan ini sewajarnya dicontohi oleh rakyat Johor yang sudah sekian lama dizalimi Kerajaan Umno-BN.

PRU13  pada 5 Mei ini adalah peluang terbaik bagi rakyat Johor melakukan perubahan ini dan peluang tersebut tidak harus  dipersia-siakan.

Demikian ditegaskan calon PAS  kerusi Parlimen Ayer Hitam, Hu Pang Chaw, di sini, baru-baru ini kepada wakil Harakah.

Menurut beliau, rakyat Johor seharusnya menerima perjuangan PAS yang berlandaskan kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan untuk kepentingan politik semata-mata

“Saya membawa misi untuk mengajak rakyat Johor menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat kerana iaa membawa keadilan, kesejahteraan, keharmonian dan juga kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama mahu pun fahaman politik,” kata Pang Chaw.

“Selain itu saya juga ingin memberitahu rakyat Johor bahawa negeri ini bukan lagi kubu kuat Umno mahu pun MCA seperti yang diuar-uarkan selama ini sebaliknya negeri ini sudah berubah menjadi kubu Pakatan Rakyat pula.

“Tidak mustahil pada PRU13 ini lanskap politik negeri ini akan berubah, ini berdasarkan kepada perubahan sikap rakyat yang sekarang ini begitu bersemangat dan tidak sabar-sabar lagi untuk melakukan perubahan," tegasnya.

Selanjutnya, menurut pesara guru ini, Umno-BN telah gagal membela nasib orang Melayu dan seluruh rakyat negara ini. Justeru, mereka perlu ditumbangkan pada PRU13.

“Sepanjang lebih 55 tahun Umno-BN memerintah negara ini, kehidupan rakyat bukan semakin bertambah selesa, sebaliknya semakin bertambah susah. Jadi, rakyat wajar melakukan perubahan bagi menyelamatkan negara ini," ujar Pang Chaw. 

“Rakyat sudah tidak sanggup lagi berhadapan dengan segala macam masalah yang telah sekian lama membelenggu rakyat kesan dari kegagalan Umno-Bn memerintah negara  ini,” tegas beliau yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ketika ditemui selepas berkempen di Yong Peng, dekat sini, 22 April lalu.

Berhubung peluang Pakatan Rakyat pada PRU13 di Parlimen Ayer Hitam ini, beliau optimis Pakatan  mampu memenangi kerusi ini walaupun dengan majoriti kecil,  namun itu sudah mencukupi kerana yang paling penting baginya ialah Umno-BN perlu ditumbangkan.

“Berdasarkan maklum balas masyarakat setempat, walaupun saya baru beberapa hari turun padang berkempan, rata-rata yang ditemui sama ada orang cina atau Melayu, mereka telah menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan kali ini.

“Ini kerana rakyat sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan hidup akibat dari kegagalan Umno-BN mentadbir negara ini, menyebabkan rakyat yang menanggung akibatnya,” ujar Pang Chaw.

Terdahulu, beliau yang turut diringi calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Yong Peng, Chew Peck Choo, telah menemui berbagai-bagai golongan masyarakat di Yong Peng dan kawasan sekitarnya.

Tiada ulasan: