Isnin, 1 April 2013

PAS gesa kerajaan senarai syarikat terlibat perjanjian LIMA 2013

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPURl — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa Putrajaya untuk menyenaraikan syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat dalam perjanjian berjumlah RM4.27 bilion di LIMA 2013 baru-baru ini, serta mengkritik kerajaan kerana membuat keputusan yang memberi implikasi kewangan walaupun mandat lima tahun sudah berakhir.

Mahfuz berkata langkah tersebut penting untuk rakyat mengetahui tentang perjanjian yang dibuat demi ketelusan supaya pertikaian komisyen pembelian Scorpene tidak berulang lagi seperti sebelum ini.

“Saya menggesa kerajaan menyenaraikan projek ataupun pembelian yang dibuat selepas 8 Mac 2013 iaitu selepas berakhir mandat 5 tahun.

“Kerajaan tidak berhak membuat apa-apa keputusan yang boleh memberi implikasi kewangan apabila mandat sudah tamat,” kata Mahfuz pada satu sidang media di ibu pejabat PAS, Raja Laut di sini.

Mahfuz mengakui secara perlembagaannya tempoh berakhir Parlimen ialah pada 30 April, tapi secara moral politiknya tindakan oleh kerajaan tersebut adalah salah.

“Ia adalah tindakan tidak wajar... hingga kini kerajaan belum menyenaraikan apa-apa syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Ini adalah satu tindakan tidak wajar... seperti kes pembelian Scorpene lalu, berapa banyak orang tengah dapat komisyen dalam pembelian baru-baru ini pula?” soal MP Pokok Sena tersebut.

Disamping itu, Mahfuz berkata sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan  Putrajaya mereka akan dedahkan satu persatu butiran dalam perjanjian LIMA baru-baru ini dan yang terdahulu dianjurkan.

Mahfuz juga berkata walaupun nama-nama syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat dalam perjanjian LIMA sudah dikeluarkan kepada umum, perkara tersebut masih tidak memadai memandangkan butiran dan maklumat tentang perjanjian tersebut masih lagi berada dalam gelap.

Skandal pembelian kapal selam Scorpene mula mendapat perhatian semula pada 2012 apabila badan hak asasi manusia SUARAM secara aktif telah mengikuti skandal Scorpene di mahkamah Perancis, dan berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan mungkin membuka semula kes pembunuhan model Mongolia Altantuyaa Shaariibuu, yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian itu.

Pada April tahun ini, Tribunal Grand Instance di Paris memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa firma Perancis DCNS telah membayar kira-kira RM452 juta sebagai rasuah kepada pegawai Malaysia untuk mendapatkan kontrak bagi dua kapal selam tentera laut.

SUARAM juga telah memfailkan aduan ke mahkamah Perancis pada tahun 2009.

Dalam satu sidang akhbar di Bangkok pada 30 Mei, peguam Perancis SUARAM, Joseph Breham telah mendedahkan dokumen kerajaan tentang penilaian tentera laut Malaysia tentang kapal selam Scorpene yang mereka rancang untuk beli telah dijual oleh Terasasi (Hong Kong) Ltd kepada DCNS dengan harga RM142 juta.

Abdul Razak Baginda, bekas ketua pemikir yang menjadi watak utama dalam penyiasatan 2006 dalam kes pembunuhan Altantuya, disenaraikan sebagai pengarah Terasasi dengan bapanya, Abdul Malim Baginda.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini semasa pameran LIMA di Langkawi telah mengumumkan  24 perjanjian membabitkan pelbagai aset dan perkhidmatan pertahanan bernilai RM4.2 bilion, ditandatangani antara Kementerian Pertahanan, syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta kerajaan negeri Pahang.

Ahmad Zahid berkata jumlah keseluruhan itu diperoleh menerusi enam Dokumen Kontrak serta tiga Surat Setuju (LOA) Kementerian Pertahanan bernilai RM548 juta disamping 11 Memorandum Persetujuan (MoA) dan empat Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM3.7 bilion.

Antara syarikat yang menandatangi Dokumen Kontrak dan LOA adalah syarikat Joint Stock Company Aviation Holding Company Sukhoi, Rosebank Engineering, UniKL Resources, Telekom Malaysia, syarikat penerbangan MAS, BHIC Aeroservices dan BHIC Defence Techservices.

Tiada ulasan: