Selasa, 9 April 2013

PAS sedia satu peguam satu Parlimen

Hazayani Zakaria,



Abang Mat menunjukkan logo satu peguam satu parlimen yang disediakan oleh lajnah guaman PAS

KUALA LUMPUR: Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat melancarkan 'Satu Peguam Satu Parlimen' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Lajnah tersebut menyediakan seratus peguam di 76 Parlimen yang ditandingi PAS pada PRU 13, 95 peratus daripadanya terdiri daripada peguam muda.

Menurut peguam dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, pasukan peguam tersebut akan menyelia dan menguruskan semua calon PAS yang bertanding di setiap Parlimen.

"Tujuan kami untuk memastikan proses pilihan raya dijalankan menurut batas-batas perundangan dan kita menolak sebarang aktiviti yang tidak bermoral dan sebarang huru-hara," kata beliau pada sidang media bersama pimpinan tertinggi PAS di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Tambah beliau, peguam-peguam tersebut akan dibahagikan kepda dua kumpulan iaitu untuk menjaga bilik gerakan dan turun ke lapangan bermula dari hari penamaan calon sehingga ke hari pembuangan undi.

"Kami komited untuk memberi khidmat dari segi undang-undang dan ketua-ketua peguam akan menjaga negeri masing-masing.

"Kita akan bertanding secara profesional dan kita minta Umno BN akan menentang kita dengan profesional," katanya.

Sebagai simbolik, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyerahkan watikah pelantikan peguam kepada beberapa pesuruhjaya negeri sambil disaksikan Pengerusi Lajnah tersebut, Asmuni Awi.

Tiada ulasan: