Ahad, 14 April 2013

PAS tawar selesai masalah perumahan di Putrajaya

Mohd Rashidi Hassan,


PUTRAJAYA: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang juga calon PAS bagi Parlimen Putrajaya hari ini, mencadangkan beberapa tawaran kepada kakitangan awam, bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan yang berlarutan sekian lama di kawasan pusat pusat pentadbiran kerajaan itu.

Antara tawaran yang dicadangkan ialah, untuk menukar status sewa bulanan mereka kepada sewa beli.

“Sewa beli ini dikira dari mula mereka bayar sewa rumah tersebut dan akhirnya mereka akan dapat memiliki rumah yang mereka diami untuk sekian lama itu. Ini adalah salah satu langkah yang saya akan tangani segera,” ujar beliau dalam sidang akhbarnya di Kelab Tasik Precint 8, di sini.

Tegas Husam, untuk tujuan itu beliau akan menulis surat, untuk mendapatkan temujanji dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Mohd Ali Hamsa bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah perumahan yang semakin menekan kakitangan awam.

Beliau membuat cadangan itu selepas menjelajah beberapa kawasan perumahan di Putrajaya dan bersuai kenal serta berdialog dengan penduduk setempat.

Dalam beberapa siri lawatan yang dilakukan, calon PAS Putrajaya itu berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa masalah kritikal yang dihadapi kakitangan awam di Putrajaya, khususnya berkaitan soal perumahan.

“Saiz rumah yang disediakan adalah tidak sesuai untuk sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai. Kebanyakan rumah tersebut bersaiz 750 kaki persegi hingga 800 kaki persegi,” ujarnya.

Apa yang penting bagi beliau, kerajaan gagal menyediakan kemudahan perumahan kepada kakitangan awam, kerana hanya mampu menyediakan 1/3 daripada jumlah 16,000 pemohon.

Berdasarkan tinjauan, untuk membeli rumah di Putrajaya, ianya merupakan suatu perkara yang mustahil bagi penjawat awam, yang bukan sahaja dari kakitangan sokongan, malah sehingga ke peringkat atasan, ianya menjadi kesukaran.

Ini disebabkan harga sebuah pangsapuri atau apartment mencecah di antara RM120,000 hingga RM150,000.

Harga untuk rumah teres dua tingkatyang ditawarkan kerajaan BN di Putrajaya ialah antara RM500,000 hingga RM 750,000, manakala harga untuk sebuah semi D pula antara RM900,000 hingga RM1.8 juta.

“Harga ini semangnya membebankan kakitangan awam, apatah lagi jika kakitangan atasan hendak membeli banglo, harganya mencecah RM2.5 juta ke atas.

“Jadi pada saya harga-harga tersebut tidak memungkinkan kakitangan awam untuk memiliki rumah di Putra jaya walaupun mereka bekerja di sini,” ujarnya.

Tiada ulasan: