Selasa, 30 April 2013

Pemantau Ideas pastikan undi awal hari ini tiada penipuan

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (Ideas) akan memastikan tiada penipuan berlaku ketika proses pengundian awal melibatkan polis dan tentera hari ini.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan, sukarela badan pemikir tersebut menghantar wakilnya di 102 cawangan Parlimen yang menjalankan pengundian awal khususnya di kem tentera dan balai polis.

undi pos

“Hari ini berlangsung undian awal, jadi semua sukarela kita membuat pemantauan dari setiap sudut termasuk masa permulaan bilik mengundi dibuka sehingga ke proses pembuangan undi.

“Walaupun ini kali pertama diadakan undian awal, namun sebenarnya tiada beza dengan undi pos yang dilaksanakan kepada polis dan tentera sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Wan Saiful berkata, pengundian awal hari ini akan memudahkan kerja pemantau, tetapi tidak menolak akan berlaku sebarang perkara tidak diingini jika tidak diberikan perhatian semasa proses pembuangan undi.

“Dalam proses pengundian, macam-macam boleh berlaku, tetapi pemerhati sebagai badan bebas akan melihat dari semua sudut supaya tiada penipuan ketika mengundi.

“Apabila proses mengundi di kem contohnya, semua kuasa berada di tangan ketua kem, bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka sendiri perlu mendapatkan kebenaran untuk menjalankan proses mengundi di kem,” katanya.

Selain Ideas, kumpulan yang dijemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati bertauliah tempatan ialah Pusat Pengajian Polisi Awam di bawah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dan Majlis Belia Malaysia.

Terdahulu, Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) telah menarik diri menjadi pemerhati.

SPR sebelum ini mengumumkan kira-kira 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan lebih 2,500 individu akan bertindak sebagai pemerhati tempatan pada PRU 13.

Manakala bagi peringkat antarabangsa, lima negara Asean iaitu Kemboja, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina, dan setiap dari negara tersebut akan menghantar seramai tujuh orang pemerhati.

Tiada ulasan: