Khamis, 25 April 2013

Pengundi Gombak Akan Tolak Politik Kotor


azmin gombak surau 01

GOMBAK : Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yakin budaya politik matang yang dibawa Pakatan Rakyat dapat memastikan pengundi kerusi itu dan kerusi DUN di bawahnya terus bersama Pakatan Rakyat.

Meskipun kerusi Gombak dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’, Azmin yakin gerak kerja yang telah dilakukan sepanjang lima tahun lalu dalam mendekati rakyat akan di-ikhtiraf pengundi.

Ketika ditemui di Surau Darul Muhajirin, Taman Selaseh 2, di sini, beliau menyeru semua petugas parti supaya tidak terlibat dengan budaya samseng dan fitnah ketika berkempen.

Sebaliknya, mereka harus menumpukan kempen kepada menerangkan dasar dan program yang telah dilakukan Kerajaan Selangor.

“Alhamdulillah gerak kerja ini sudah lama dilakukan. Bukannya selepas pembubaran tetapi memang saya dan teman-teman Pakatan Rakyat di sini mendekati rakyat sejak lima tahun yang lalu.

“Hari ini kita meningkatkan usaha memastikan maklumat kejayaan Kerajaan Negeri itu telah pun sampai ke akar umbi agar rakyat dapat menilai pimpinan mana yang layak diberikan peluang untuk mentadbir negeri Selangor.

“Saya akan pertahankan prinsip ini kerana rakyat di Gombak merupakan rakyat yang cukup matang. Mereka tidak boleh menerima budaya (politik kotor) sebegini,” katanya yang juga penyandang Dun Bukit Antarabangsa.

Sebelum itu, Azmin menyerahkan cek sumbangan daripada Kerajaan Negeri kepada Pengerusi Surau Darul Muhajirin, Ahmad Ismail bernilai RM 5,000.

Sumbangan berkenaan merupakan pemberian bagi menampung tabung perbelanjaan dalam penganjuran program-program pengimarahan surau dan masjid di Selangor.

Peruntukan tersebut merupakan sumbangan berterusan yang telah diluluskan Kerajaan Negeri sebelum pilihanraya.

Dalam PRU-13 kali ini, Azmin akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada tahun 2008.

Bagi kerusi Parlimen Gombak, beliau akan berhadapan saingan tiga penjuru diantara calon Umno-BN, Dr Raman Ismail dan calon Bebas, Said Nazar Abu Baker.

Sementara di Dun Bukit Antarabangsa beliau akan bertembung dengan Mohamad Nadzim Ibrahim dari Umno-BN.

Tiada ulasan: