Jumaat, 5 April 2013

Pentadbiran Selangor cemerlang tanpa pemimpin rasuah – MB

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR 5 APRIL: Rakyat Selangor perlu mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat jika tidak mahu negeri itu ditadbir pemimpin rasuah dan salah guna kuasa seperti pentadbiran terdahulu, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, sepanjang lima tahun mentadbir Selangor, Pakatan berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat dengan menjaga kredibiliti mereka selaku pemimpin yang bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

MB

"Harapan saya dan barisan Exco agar pengundi di Selangor membuat penilaian terbaik berdasarkan pencapaian kami selama lima tahun.

“Kami amat bangga kerana sepanjang tempoh ini, tiada seorang Exco, Adun atau pegawai tinggi kerajaan yang menghadapi tuduhan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Khalid, rakyat boleh menilai sendiri pembangunan yang diseiringkan dengan kebajikan sebagai teras pentadbiran Pakatan di Selangor.

“Saya menyeru kepada seluruh pengundi dan rakyat Selangor agar terus memberikan kami mandat agar kami dapat meneruskan sebuah pentadbiran reformasi.

“Kami bukan sahaja mengekalkan Selangor sebagai negeri paling maju dengan jumlah pelaburan tertinggi tetapi pada masa sama kami mengutamakan kebajikan rakyat dengan program-program pembangunan,” katanya pada sidang media di bangunan Annex, Shah Alam, selepas DUN Selangor dibubarkan, petang semalam.

Hadir sama, barisan Exco – Iskandar Samad, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu, Elizabeth Wong, Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Yaakob Sapari dan Dr Ahmad Yunus Hairi. – NS

Tiada ulasan: