Rabu, 17 April 2013

Perbandingan Manifesto BN & Manifesto PR. Disposable Income & Kos Sara Hidup Rakyat Malaysia. BN Belanja RM10 Bilion (SIRI 1)

 Staff Berita Semasa
Manifesto PR Vs Manifesto BN

Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telahpun mengeluarkan manifesto pilihanrayanya masing-masing. Kedua-dua parti politik ini bertungkus-lumus dalam meyakinkan rakyat untuk memilih mereka dalam Pilihanraya Umum nanti.
Janji-janji dalam Manifesto baik dari BN ataupun PKR, kedua-duanya nampak meyakinkan. Tetapi, yang manakah yang paling baik? Isu kami pada kali ini adalah untuk membincangkan mengenai kedua-dua manifesto dalam konteks kos sara hidup.

Manifesto BN : Menangani Kos Sara Hidup Rakyat

  • Barisan Nasional berjanji akan menambah BR1M sehingga RM 1200 untuk isi rumah dan RM 600 untuk bujang secara tahunan.
  • Menaikkan bayaran Baucar buku 1Malaysia kepada RM 300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM 150
  • Menyemak semula dasar automotif nasional untuk mengurangkan harga kereta secara berperingkat di antara 20-30%.
  • Dasar gaji minimum RM 900 bagi semenanjung dan RM 800 bagi Sabah dan Sarawak

Pakatan Rakyat : Menangani Kos Sara Hidup Rakyat

  1. Memberi caruman RM 50 sebulan kepada isteri layak dalam skim Caruman Wanita Malaysia
  2. Memberi RM 1000 secara tahunan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dalam Skim Bonus Warga Emas
  3. Memberikan RM 300 untuk setiap murid bagi sekolah janaan rakyat secara tahunan yang melibatkan kos RM 220 juta.
  4. Gaji minimum RM 1100
  5. Dividen perajurit tidak berpencen RM 2000 secara tahunan dengan anggaran RM 400 juta
  6. Menurunkan harga minyak kepada RM 1.50 berbanding RM 1.90 sekarang
  7. Menurunkan caj eletrik dengan anggaran subsidi RM 25 bilion.
  8. Menghapuskan tol dengan anggaran kos RM 5 bilion secara berperingkat
  9. Menghapuskan cukai eksais kenderaan dalam tempoh 5 tahun
  10. Pendidikan percuma dengan menghapuskan PTPTN

Pemberian BR1M 3.0 Hingga BR1M 7.0

Berita Semasa akan semak satu persatu janji-janji dalam kedua-dua manifesto untuk dibuat perbandingan. Sebenarnya untuk menambah BR1M sehingga RM 1200 dan RM 600 untuk bujang secara tahunan.

Berdasarkan agihan BR1M 2.0, jumlah penerima BR1M setakat ini adalah melibatkan 4.3 juta isi rumah manakala untuk bujang adalah 2.7 juta individu bujang yang melibatkan peruntukan sejumlah RM 3 bilion.
RM3 bilion besar atau kecil? Sangat-sangat besar. Jumlah Rm3 bilion bukanlah satu angka yang kecil. Berita Semasa menjangkakan pemberian BR1M ini, sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Umum ke 13 kelak, ia akan dinaikkan secara berperingkat.
  • Kita ambil sahaja contoh sekiranya bantuan dinaikkan kepada RM 1200 dan RM 600 untuk individu bujang, perbelanjaan dan bajet untuk BR1M ini dijangka akan meningkat kepada RM 7 bilion setahun, dengan anggapan bahawa terdapat penambahan penerima BR1M.
  • Untuk selama 5 tahun bermula tahun 2013, kos yang akan terlibat dalam pemberian BR1M ini akan melibatkan peruntukan sejumlah RM 35 bilion! Satu jumlah yang bagi kami, agak besar.
Pada pendapat Berita Semasa sendiri, bantuan BR1M ini merupakan inisiatif yang baik untuk membantu kesusahan rakyat, tetapi dalam masa yang sama, adakah ianya berbaloi, dari sudut sosio-ekonomi mahupun struktur kewangan kerajaan? Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat Berita Semasa, tetapi dari pemerhatian yang kami lakukan, pemberian BR1M ini nampaknya akan menjadi satu bebanan buat kerajaan sekiranya diteruskan. Apabila cara pemberian one-off ini diteruskan.
Lagipun kesan pemberian BR1M 2.0 ini sebenarnya sama sekali tidak adil. Bagaimana pula jika melibatkan masyarakat miskin bandar di bandaraya besar yang tidak layak menerima BR1M 2.0 contohnya? Walaupun sebenarnya keadaan mereka sama seperti masyarakat yang duduk di bandar-bandar kecil atau kawasan kampung.
Manifesto PRU 13

Kami berpendapat, RM35 bilion (dalam tempoh 5 tahun daripada sekarang) yang bakal diperuntukkan untuk BR1M ini adalah lebih baik digunakan untuk memperbaiki dan mengtransformasi kemudahan pengangkutan awam bagi mendekatkan lagi jurang di antara bandar-bandar besar di setiap negeri di Malaysia, dimana mungkin suatu hari nanti, orang yang bekerja di Kuala Lumpur, boleh berulang alik dari Perak setiap hari menaiki keretapi laju dengan masa perjalanan hanya 30 minit sahaja?
Ini sudah pasti dapat mengurangkan kesesakan di bandar-bandar besar malah, meluaskan lagi jaringan limpahan status pemodenan ke bandar-bandar lain.

Menaikkan Bayaran Baucar buku 1Malaysia kepada RM 300 dan Bantuan Persekolahan Kepada RM 150

  • Bantuan ini merupakan inisiatif yang baik, malah ianya patut diteruskan. Dalam aspek pendidikan, kerajaan sememangnya perlu melabur lebih banyak wang. Kami hanya percaya, bahawa pendidikan yang baik, akan menganugerahkan satu masyarakat yang baik, untuk negara dan bangsa. Namun kami juga ingin kerajaan membuat sesuatu dari segi kawalan.
  • Ramai pelajar yang menyalahgunakan bantuan ini, malah ada juga yang berani menjual kembali baucer ini di laman web satu ketika dulu. Pemantauan tentang apa yang dibeli menggunakan bantuan ini adalah amat perlu. Banyak yang kami lihat membeli buku-buku novel, komik, dan tida kurang juga buku-buku yang tidak termasuk dalam kategori yang dapat membantu mereka dalam aspek pelajaran dan pembinaan diri.
  • Di sinilah sepatutnya kerajaan mengambil tindakan oleh kerana, kita tidak mahu bantuan-bantuan seperti ini disalahgunakan, dan akhirnya tidak membantu pelajar tersebut mencapai matlamat sebenar.

Semakan Semula  Dasar Automotif Nasional – Mengurangkan Harga Kereta Secara Berperingkat 20%-30%.

Secara jujur, kami agak bersetuju mengenai pengurangan harga kereta secara berperingkat yang terdapat di dalam manifesto barisan nasional. Bagi kami, mungkin peratusan pengurangan itu boleh dinaikkan lagi sehingga 50-70%, kerana ianya hanya melibatkan duti eksais. Peratusan isi rumah memiliki kenderaan adalah sebanyak 71.9%. Ini menujukkan bahawa memiliki kereta adalah satu keperluan asas.
Jika dilihat daripada kadar cukai eksais di atas, kami nampak perlunya penambahbaikan di sini. Janji Barisan Nasional untuk mengurangkan harga kereta dilihat dapat dilaksanakan. Namun adalah lebih baik sekiranya kadar cukai eksais tersebut dibuat penelitian semula.Lebih-lebih lagi, pada kapasiti bawah 1800 cc.
  • Secara amnya, lebih ramai pengguna kereta mewakili kenderaan pada kadar 1800cc ke bawah, tetapi cukai eksais yang dikenakan seperti tiada “perbezaan”. Kata mudah, tiada perbezaan ketara kadar cukai yang dikenakan di antara orang yang berkempuan dan tidak berkemampuan. Kami mencadangkan untuk manifesto Barisan Nasional diperkemaskan perlaksanaannya agar kadar cukai eksais bagi kenderaan bersesaran 1800 cc ke bawah direndahkan ke 20% berbanding sekarang pada kadar 75%. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tanggungan hutang pemilik kenderaan yang tidak berpendapatan tinggi.
  • Manakala cukai eksais bagi enjin bersesaran 1800-2000 cc pula ditetapkan kepada kadar 50%. Untuk kenderaan lebih 2000cc, cukai yang eksais yang patut dikenakan pula adalah 80%. Sesuai dengan pedapatan tinggi mereka.Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan jurang pendapatan dan kadar keberhutangan yang tinggi di kalangan pemilik kereta.
Manifesto Cukai Kereta

Kadar perolehan daripada cukai kenderaan yang diterima kerajaan adalah sebanyak 7.6 bilion pada tahun 2013.Dengan pelaksanaan pengurangan 20-30% harga kereta, pendapatan kerajaan akan berkurang kepada anggaran 5 bilion setahun.Namun begitu, ianya memberi implikasi yang baik kepada rakyat, dimana lebihan tanggungan hutang kenderaan tersebut, dapat digunakan oleh pemilik kenderaan untuk tujuan lain yang bersifat ekonomi seperti membeli barang, melabur dan sebagainya.
Kalau kita lihat balik satu persatu janji di dalam manifesto barisan nasional yang kami huraikan di atas, perbelanjaan kasar yang akan ditanggung oleh kerajaan adalah:
  • BR1M : RM 7 bilion setahun
  • Baucar buku & Bantuan Sekolah : RM 1 bilion
  • Cukai Eksais : RM 2 bilion setahun.
Di sini sahaja, kerajaan telah membelanjakan hampir RM 10 bilion setahun, dimana, ianya merupakan perbelanjaan tahunan yang besar. Lebih-lebih lagi, kepada peruntukan BR1M. Untuk perbelanjaan baucar buku dan cukai eksais (kerugian pendapatan) sebanyak RM 1 bilion dan RM 2 Bilion setahun, bagi kami, ianya membawa impak yang berkesan. Terutamanya apabila melibatkan kadar pengurangan harga kereta.
Apakah respon balas anda kepada janji di dalam Manifesto Barisan Nasional untuk mengurangkan kos hidup rakyat? Bersetuju dengan cadangan BN? Berikan respon anda..
P/S ; Sambung laporan Berita Semasa bagi perbandingan Manifesto Barisan Nasional VS Pakatan Rakyat (SIRI 11) DI SINI!

Tiada ulasan: