Isnin, 15 April 2013

PKR Tampil Calon Parlimen Dan DUN Boleh Menang


MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 04

SHAH ALAM : Pengumuman calon PKR peringkat Parlimen dan DUN Selangor yang diumumkan semalam adalah berasaskan kepada calon boleh menang, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, permilihan kesemua calon itu mengambil kira pelbagai aspek di mana PKR mahupun Pakatan Rakyat (PR) bertekad untuk memenangi dan terus menguasai DUN Selangor.

“Kita akan mengadakan upacara untuk mengisytiharkan semula calon PR yang akan bertanding di Selangor kerana kita memasuki Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai satu pasukan.

“Tujuan kita perkenalkan calon-calon ini adalah supaya mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan di kawasan Parlimen dan DUN yang akan kita tanding,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Himpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Sementara itu, Abdul Khalid menyifatkan pencalonannya di kerusi DUN Pelabuhan Klang membuktikan kesungguhan PR untuk memenangi kerusi itu.

Malah menurutnya, beliau sudah bersedia untuk bertanding di kawasan itu sebelum keputusan senarai calon diumumkan.

“Kerusi Pelabuhan Klang sangat sensitif. Untuk menyelesaikan masalah, ia memerlukan seseorang yang ‘high power’. Pakatan mempunyai strategi yang lebih proaktif,” katanya lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan seramai tujuh calon PKR peringkat Parlimen dan 10 peringkat DUN Selangor akan mempertahankan kerusi yang dimenangi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu.

Anwar turut memperkenalkan empat muka baru di peringkat Parlimen dan lapan bagi kerusi DUN di negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam akan berpindah dari Kapar ke Bukit Malawati.

Tiada ulasan: