Ahad, 14 April 2013

Pos Pilihanraya Dun Cempaka Dirosakkan


pos cempaka rosak 01

AMPANG- Satu pos jentera pilihan raya Pas Dun Cempaka berhampiran Pangsapuri 610 Pandan Indah di sini, dirosakkan dengan bendera dicuri dan kipas siling dibengkokkan selepas didirikan hampir 11 hari.

Kejadian itu disedari Ketua Unit Peti Undi 5, Nat Saad Nasir pada 11 April lalu selepas tiba di pos berkenaan sekitar jam 8 pagi.

Menurut Setiausaha Jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Hafiz Razak, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan Cempaka dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang.

“Ini merupakan satu pengkhianatan dan kerosakan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Secara keseluruhan, kita ada 11 pos sementara 17 bilik gerakan sudah mula beroperasi,” katanya pada satu sidang media di Bilik Gerakan PAS Pandan.

Antara kerosakan yang dilaporkan adalah 15 helai bendera parti dicuri, kain rentang dibuang selain bilah  kipas siling dibengkokkan.

Jelas Hafiz, pihaknya telah mendapat persetujuan dan kebenaran penduduk di kawasan berkenaan sebelum pos ini mula didirikan pada awal April lalu.

pos cempaka rosak 02


Manakala pengarah jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Meor Rithuan Mohamed Said kesal dengan tindakan tidak profesional pihak tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, sebarang kempen mahupun gerak kerja pilihan raya perlu berlaku secara ‘fair play’ dan profesional.

“Saya menyeru pihak lawan dan pihak tidak bertanggungjawab agar menghadapi pilihan raya secara ‘fair play’. Kalau cuba untuk menakutkan, kita tidak takut.

“Dia berhak (bina pos), kita juga berhak. Kita kena hormat,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: