Isnin, 1 April 2013

PR sasar 12 tambahan kerusi Parlimen di negeri bukan deposit tetap BN

Roketkini.com



GELANG PATAH: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, objektif keempat Pertempuran Gelang Patah adalah Pakatan Rakyat (PR) mensasar 12 lagi kerusi Parlimen di negeri yang bukan deposit tetap Barisan Nasional (BN) untuk menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, bagi mencapai sasaran 125 kerusi dengan majoriti 28 kerusi di Parlimen, PR perlu memenangi 12 lagi kerusi Parlimen di negeri bukan ‘deposit tetap’ BN.

“25 kerusi Parlimen yang BN menang kurang daripada 55% undi popular (tidak termasuk Kuala Terengganu), terdapat sekurang-kurangnya satu kerusi BN marginal dalam setiap daripada kerusi di negeri bukan deposit tetap BN.

“Pakatan juga mensasar untuk memenangi separuh daripada kerusi berkenaan iaitu Parlimen Arau di Perlis; Alor Setar (Kedah); Kuala Nerus (Terengganu); Larut, Kuala Kangsar, Kampar dan Lumut (Perak); Bentong, Raub dan Jerantut (Pahang); Sabak Bernam dan Pandan (Selangor); Rembau (Negeri Sembilan) dan Bukit Katil (Melaka).

“Kerusi lain BN yang marginal juga memihak kepada PR ialah Dungun, Terengganu; Jerlun (Kedah); Padang Rengas, Tambun, Parit, Tapah, Pasir Salak dan Bagan Datok (Perak); Temerloh (Pahang); Sepang (Selangor); dan Jempol (Negeri Sembilan),” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 11 Hari Ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bagaimanapun, PR boleh menang dengan majoriti yang baik dan selesa jika memenangi 125 kerusi Parlimen membabitkan 45 kerusi yang ditandingi PKR dan masing-masing 40 kerusi oleh DAP dan PAS.

Menurutnya, kebanyakan kawasan itu mengalami peningkatan pengundi baru yang agak besar, sebahagian besarnya pengundi muda yang lebih tertarik kepada PR untuk mengubah masa depan mereka.

“Sepanjang tempoh kempen, peningkatan semangat untuk perubahan akan muncul di negeri Sabah dan Sarawak, yang tidak boleh lagi dianggap sebagai negeri deposit tetap BN.

“Gelombang yang sama juga akan muncul dalam negeri deposit tetap BN untuk menghantar PR berkuasa di Putrajaya dan menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin pembangkang,” katanya.

Tiga hari lalu, Kit Siang menggariskan tiga objektif Pertempuran Gelang Patah sebagai sebahagian daripada objektif yang lebih besar untuk menggerakkan PR ke Putrajaya.

Katanya, objektif ketiga PR mensasar untuk memenangi 33 daripada 83 kerusi Parlimen di tiga negeri deposit tetap BN negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, jika PR berjaya mempertahankan 80 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU-12 lalu dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, selain memenangi 33 kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak, ini bermakna PR bakal memperolehi 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: