Jumaat, 5 April 2013

PRU-13: Isu tanah, orang Melayu bakal tumbangkan BN Johor

Roketkini.com

Gambar ehsan KeadilanDaily

KULAI,: “Mereka dihalau pihak berkuasa menggunakan FRU dan anjing!”. Begitulah nasib yang menimpa orang Melayu yang menjadi setinggan di beberapa kawasan sekitar daerah Johor Bahru yang terpaksa berpindah daripada tempat yang mereka diami lebih 50 tahun lalu.

“Realiti itu benar-benar membuatkan UMNO cemas, orang Melayu terutamanya yang tinggal di kawasan setinggan memang marah, kecewa dan sedar bahawa janji yang ditaburkan BN sekadar janji kosong,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman.

Beliau menceritakan bagaimana peneroka bandar itu (setinggan) dizalimi apabila tanah yang dijanjikan kepada mereka dirampas untuk dibangunkan pemaju.

“Kita kena tahu, mereka datang dari kampung sebagai menyahut seruan kerajaan untuk berpindah ke bandar. Dari bandar yang mundur, mereka inilah yang menjadi sumber tenaga manusia, termasuk menjadi jadi buruh binaan.

“Mereka ditempatkan di kawasan pinggir bandar, mereka mendirikan rumah, seingat saya mereka sudah lebih 50 tahun, sejak negara merdeka sampai hari ini. Jadi bila mereka sudah melahirkan anak, cucu, sepatutnya kerajaan berikan mereka hak milik tapi apa yang berlaku mereka dihalau keluar daripada penempatan mereka,” jelas Mazlan.

Ditanya samada penduduk Melayu di bandar menolak pembangunan, Mazlan tegas berpendirian bahawa apa yang penting dalam sebarang pelan pembangunan adalah perancangan yang strategik dan berkesan.

“Kita tidak menolak pembangunan. Tetapi, sepatutnya bila kerajaan ada cadangan untuk membangunkan satu-satu kawasan, mereka perlu sistematik. Kalau nak beri pampasan perlulah berbaloi dan wajar. Mereka sudah berada di situ berpuluh tahun,” katanya ketika ditemui di Kulai, baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi bagaimana insiden penduduk dihalau daripada kediaman mereka di kampung Plentong Tengah membabitkan 300 rumah orang Melayu pada 2008 lalu.

“Dulu masa mereka masuk ke bandar, mereka bukan sahaja dijanjikan tanah, tetapi penempatan yang kekal. Mereka juga ketika itu adalah pengundi tegar BN. Mereka percaya, sumbangan mereka kepada negeri, negara akan dibayar kerajaan dalam bentuk kediaman dan tempat tinggal yang selesa, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Insiden itu sangat terkesan sampai hari ini. Kini 200 penduduk kampung menyertai PAS,” ujar Mazlan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, dalam beberapa kes dihadapi, apabila penduduk cuba bertahan, mereka dikekang menggunakan pihak berkuasa seperti polis dan FRU.

“Bermula daripada situlah mereka ini yang dulunya pengundi tegar BN sekarang ini menyokong oposisi. Sebahagian besarnya menjadi ahli parti sama ada PAS, PKR atau DAP.

“Sebab itu, hari ini satu daripada gelombang masyarakat itu datang daripada segmen masyarakat ini. Jumlah mereka besar, kita kena ingat. Undi penentu hidup mati BN adalah mereka pada pilihan raya nanti, mereka inilah yang dizalim BN,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: