Rabu, 3 April 2013

PRU13: Mesyuarat khas SPR akan diketahui petang ini

G MANIMARAN

PRU13
Tarikh penting PRU 2004 hingga 2013
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM  - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan petang ini tarikh mesyuarat khas pihaknya bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Pada petang ini, SPR akan mengeluarkan kenyataan bila mesyuarat khas akan diadakan untuk menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan pilihan raya," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi Sinar Harian Online sebentar tadi.

Kata Wan Ahmad, SPR akan mengadakan mesyuarat khas dalam waktu terdekat untuk menentukan tarikh pilihan raya.

Katanya, SPR sedang menunggu notis makluman pembubaran daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dun negeri.

"Kemungkinan notis makluman spearker akan diterima petang ini ataupun pagi esok," kata beliau yang melihat kesemua Dun akan mengambil pendekatan pembubaran serentak susulan kerajaan pusat membubarkan Parlimen berkuat kuasa hari ini.

"Apabila ada pembubaran, kita perlu terima notis makluman daripada speaker-speaker Dun dan juga Parlimen," katanya lagi.

Dun Negeri Sembilan telah terbubar dengan sendiri Khamis lalu.

Pertengahan bulan lalu, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh seminggu selepas pembubaran Parlimen bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Sehubungan itu katanya, pilihan raya akan diadakan serentak membabitkan semua negeri.

Tiada ulasan: