Pemimpin Umno bahagian Jelebu, Negeri Sembilan menyerah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon kerusi itu dalam pilihan raya umum 5 Mei ini, tetapi amat berharap agar dikekalkan penyandangnya Datuk Seri Rais Yatim.

Setiausaha Umno bahagian Zaharuddin Meor Sameon berkata  menteri itu sangat berpengalaman, personaliti dan kredibilitnya masih lagi diperlukan di bahagian tersebut.

Apatah lagi, katanya, Rais yang juga ketua bahagian itu mempunyai hubungan akrab dengan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di kawasan berkenaan.

"Kami bermesyuarat (bahagian) pada tahun lalu (untuk tentukan calon). Datuk Seri Rais mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli jawatankuasa bahagian.

"Sokongan penuh kepadanya," kata Zaharuddin ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin bahawa Rais yang juga ketua bahagian Jelebu digugurkan sebagai calon BN pada pilihan raya umum nanti.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata dua lagi calon - Timbalan Ketua bahagian Jalaluddin Ali dan Naibnya Zainuddin Ismail - bagaimanapun mendapat sokongan sedikit rendah berbanding Rais.

Setiausaha itu berkata lagi bahagian telah menyerahkan senarai nama itu sebagai mengikut prosedur yang ditetapkan parti.

Dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, jika Rais terpilih menjadi calon, beliau bakal ditentang oleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah.

Sementara itu, hasrat yang sama turut disuarakan oleh kepimpinan bahagian Jempol sekalipun mereka sepakat menyokong siapa sahaja calon pilihan pucuk pimpinan parti.

Sungguhpun begitu, mereka juga berharap penyandangnya Datuk Lilah Yasin akan dikekalkan mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

"Mengenai calon di Jempol, kami sudah muafakat, kami sokong siapa saya sahaja yang dicalonkan. Yang penting parti menang," kata Ketua Pemudanya, Mohd Nizam Aman.

Selain Lilah dan namanya disenaraikan sebagai calon Jempol, Nizam berkata pihaknya juga mencalonkan Ujang Sabri dan senarai itu diserahkan kepada pucuk kepimpinan parti.

"Besar kemungkinan Datuk Lilah Yasin dikekalkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jika Lilah dicalonkan semula bertanding di kerusi itu, beliau bakal ditentang calon PAS,  penyanyi lagu 'Janji Manismu', Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin.