Rabu, 3 April 2013

PRU13: Selangor bubar Dun esok

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Dewan Undangan Negeri Selangor akan dibubar esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, Sultan Selangor juga telah dimaklumkan berhubung perkara itu ketika beliau mengadap tuanku di Istana Alam Shah kira-kira jam 1.30 petang tadi ekoran pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini.

"Setelah berbincang mengenai status Dewan Negeri Selangor, Tuanku Sultan telah berkenan untuk mengadakan satu upacara pembubaran Dewan Negeri Selangor esok 4 April 2013 di Balai Rong Seri, Istana Alam Shah Klang pada jam 2.30 petang.

"Acara pembubaran ini akan juga disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta Ahli Majlis Dewan Di Raja," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini membayangkan Dun Selangor akan dibubar 22 April ini jika Najib masih berteka-teki dengan tarikh pembubaran parlimen.

Bagaimanapun, dengan pengumuman Najib hari ini, pilihan raya bagi Dun Selangor dijangka serentak dengan Pusat.

Tiada ulasan: