Rabu, 3 April 2013

PRU13: Teras gesa rakyat realisasikan perubahan

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Setelah pembubaran parlimen diumumkan hari ini, Teras Pengupayaan Melayu (Teras)  menggesa rakyat merealisasikan perubahan dalam PRU13.
 “Terlalu banyak isu yang telah didedahkan dalam cara negara diuruskan selama ini. Perubahan politik negara adalah satu-satunya pilihan,” ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Katanya, rakyat telah dapat menimbangkan bagaimana kepincangan ekonomi dan salah guna kuasa telah berlaku sehingga rakyat akan terbeban di masa depan.

Beliau berkata, rakyat perlu faham betapa kuasa mereka untuk memberi mandat kepada kerajaan tidak boleh digadai hanya dengan menerima suapan yang sebenarnya hanya berjangka pendek.

Teras juga, ujarnya mengambil perhatian berat kedudukan korporat negara yang paling penting kepada ekonomi negara iaitu Petronas  kini telah tersasar dari dasar asal apabila kerajaan mengenepikan kepentingan ribuan syarikat Bumiputera.

“Kami juga menegaskan negara memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai agenda perubahan sosial yang kuat untuk menghindari masyarakat menghadapi keruntuhan akhlak dan jenayah yang semakin meningkat.

“Kami menyeru agar pengundi  muda menterjemahkan kemahuan mereka untuk sosioekonomi dan politik negara berubah kepada keadaan yang lebih baik dalam PRU13 ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, terlalu banyak yang perlu diperhatikan oleh golongan muda supaya masa depan negara tidak terus berada di tangan mereka yang mengekalkan sistem yang membenarkan penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: